JERAYAWARA KEMASUKAN KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) 2025

Labuan, 9 Julai 2025 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Program Jerayawara Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi tahun 2025 yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid-murid dan ibu bapa berkenaan peluang melanjutkan pendidikan ke Sekolah Berasrama Penuh bertarikh 8-9 Julai 2025.

Program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran yang menjalankan tugas Pengarah JPWPL, dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berlokasi di Dewan Samudera, SM Sains WP Labuan.

Seramai 600 orang peserta yang terdiri daripada murid-murid Tahun 6 dan Tingkatan 3, guru bimbingan dan kaunseling serta ibu bapa hadir menyertai program ini. Kehadiran yang menggalakkan ini mencerminkan komitmen dan minat tinggi masyarakat Labuan terhadap peluang pendidikan berkualiti.

Melalui sesi taklimat dan perkongsian maklumat, para peserta diberi penerangan jelas berkenaan syarat kemasukan, proses permohonan, keistimewaan SBP, serta peluang-peluang kecemerlangan yang ditawarkan. Program ini turut memberi motivasi kepada murid untuk mencapai potensi tertinggi dalam bidang akademik dan sahsiah.

Jabatan Pendidikan WP Labuan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga lebih ramai anak-anak Labuan dapat merebut peluang melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh sebagai langkah awal membina masa depan cemerlang.

Loading

image_pdfimage_print