
LABUAN, 26 Julai 2025 – Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan SMK Rancha-Rancha, Wilayah Persekutuan Labuan yang telah mengharumkan nama sekolah apabila berjaya meraih Naib Johan dalam pertandingan MSU National Infohunt Challenge 25 peringkat kebangsaan yang berlangsung secara dalam talian pada 19 Julai 2025.
Pertandingan yang menghimpunkan sebanyak 19 buah sekolah dari seluruh negara ini menyaksikan persaingan sengit dalam aspek pengetahuan am, kemahiran ICT serta kecekapan menyelesaikan tugasan berasaskan maklumat dan teknologi. Meskipun bersaing dengan sekolah-sekolah hebat lain, pasukan SMK Rancha-Rancha membuktikan kemampuan luar biasa apabila berjaya menempatkan diri di tempat kedua secara keseluruhan.
Mereka berjaya membawa pulang hadiah berupa biasiswa bernilai RM20 000.00, wang tunai RM800, cenderamata MSU dan sijil naib juara.
Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama mantap antara murid dan guru pembimbing. Seramai 10 orang murid telah menyertai pertandingan ini, iaitu, Muhamad Zahirul Azfar bin Sapudin, Syahmi bin Sabdin, Faqiha Zaheera binti Mohd Fadzli, Nur Husna Syafira binti Aildy, Muhammad Yusof Iqbal bin Subari, Mohammad Adzharul Afiq bin Hairul Afizul, Iris Qasreena binti Mohammad Haszri, Mohammad Adib bin Omar Ali, Que Zaiery Syah bin Saifulizar Syah dan Muhammad Amirul Aiman bin Zaidon.
Mereka telah dibimbing oleh dua orang guru yang berdedikasi, Pn. Wan Hafizah binti Wan Osman dan Pn. Irma Hamimah binti Othman, yang memainkan peranan penting dalam memberikan latihan intensif serta sokongan moral kepada para peserta sepanjang persiapan dan pertandingan berlangsung.
Pengetua SMK Rancha-Rancha, Ustaz Wan Azman Bin Wan Awang turut menyatakan rasa bangga atas pencapaian ini dan berharap agar kejayaan ini menjadi pencetus semangat kepada warga sekolah lain untuk terus cemerlang dalam bidang kokurikulum dan akademik.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan SMK Rancha-Rancha! Semoga terus melakar lebih banyak kejayaan di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.
Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha


Cikgu Irma Hamimah Binti Othman.