Labuan, 25 Ogos 2025 – telah berlangsung Program AURA GADIS di SMK Taman Perumahan Bedaun yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Amzan bin Abd Malek, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan.
Program AURA GADIS yang bertemakan Pemberdayaan AURA GADIS : Didik Akhlak, Nilai Terbina merupakan komitmen BPSH KPM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memperkasa karakter karamah insaniah dalam kalangan murid, iaitu keperibadian yang berasaskan nilai-nilai murni dan sifat kemanusiaan yang luhur.
Akronim AURA GADIS membawa maksud Akhlak Unggul Remaja Aspirasi, Generasi Aspirasi Didik Intelek Saksama. Program ini dirancang khusus di bawau Unit Hal Ehwal Murid ( HEM ) untuk membantu menangani isu-isu sahsiah murid seperti buli, vape dan gangguan seksual di sekolah melalui pendekatan yang berfokus, menyeluruh, dan berimpak tinggi.
Dua slot utama iaitu Forum Interaktif AURA GADIS : Buli Bukan Gurauan, Vape Bukan Gaya Tapi Bahaya dan Bengkel AURA GADIS : Minda Kuat, Gadis Selamat berjaya menarik perhatian dan kesedaran dalam kalangan peserta yang terdiri daripada 200 orang murid sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan termasuk Kolej Vokasional Labuan dan Labuan International School dengan kolaborasi panel-panel dari Ibu Pejabat Polis Labuan, Agensi Antidadah Kebangsaan Labuan dan dari Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt al- Rahmah, Ampang, Selangor.
Dalam ucapan perasmian penutupan, Ybhg. Dato’ Amzan berharap agar program ini akan terus berkembang dan dijadikan contoh amalan terbaik di sekolah-sekolah lain. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.






![]()

