PECUTAN GEN MADANI LITERASI KHATAM AL-QURAN PERKUKUH BACAAN MURID TAHUN 6 LABUAN

LABUAN, 27 September 2025 – Program Pecutan Gen Madani Literasi Khatam al-Quran Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berjaya dilaksanakan di Masjid Jamek An Nur dengan penyertaan seramai 150 orang murid Tahun 6.
 
Program ini bertujuan memperkukuh penguasaan bacaan al-Quran dalam kalangan murid khususnya dari aspek bacaan dan sebutan yang betul, sekali gus memastikan mereka berjaya khatam al-Quran sebelum melangkah ke sekolah menengah.
 
Seramai 25 orang fasilitator yang terdiri daripada guru Pendidikan Islam sekolah rendah di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan telah membimbing peserta sepanjang program berlangsung dengan pengelolaan utama oleh SK Patau-Patau.
 
Menurut urus setia program, Ustazah Sanisah Zulkifle, pelaksanaan program ini diharap dapat memberi impak positif dalam membudayakan al-Quran di sekolah serta menyokong usaha melahirkan Generasi Madani yang celik al-Quran.
 
Objektif utama program ini adalah:
1. Meningkatkan kadar khatam al-Quran – sekurang-kurangnya 50% murid Tahun 6 di wilayah ini berjaya khatam sebelum tamat persekolahan rendah.
2. Memperbaiki bacaan al-Quran – membantu murid menyempurnakan bacaan dengan tajwid dan sebutan yang betul.
3. Melahirkan generasi celik al-Quran – menyokong matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membentuk generasi yang mahir membaca al-Quran serta berakhlak mulia.
 
Menariknya, konsep “Pecutan” dalam program ini merujuk kepada usaha mempercepatkan pencapaian khatam al-Quran melalui sesi bimbingan intensif. Murid yang berada pada juzuk pertengahan hingga akhir (Juzuk 10 ke atas atau dalam julat Juzuk 16–25) diberikan tumpuan khusus untuk menghabiskan bacaan mereka dalam tempoh masa program ini berlangsung.
 
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada murid meningkatkan mutu bacaan, malah diyakini mampu melahirkan Generasi Madani yang berilmu, beriman dan berakhlak tinggi, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.

Loading

image_pdfimage_print