KARNIVAL PENGHAYATAN HADIS 40 IMAM NAWAWI DAN INOVASI PENDIDIKAN MERIAH

Labuan, 11 Oktober 2025 – Ruang Legar Anggerik, Ujana Kewangan menjadi tumpuan warga pendidikan dan masyarakat setempat apabila Karnival Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi & Inovasi Pendidikan berlangsung dengan penuh meriah dan gemilang.
 
Karnival yang julung kali dianjurkan di Wilayah Persekutuan Labuan ini menandakan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkukuh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan nilai keimanan dengan matlamat membentuk insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
 
Acara dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan pertandingan mewarna melibatkan 31 orang anak-anak pra sekolah. Suasana bertambah meriah dengan aktiviti Jawi Challenge yang disertai oleh 25 orang murid sekolah rendah. Aktiviti ini dikendalikan oleh Munsyi Jawi Kebangsaan, Ustazah Dalilah Desa bersama para ustaz dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam. Selain memantapkan kemahiran jawi di kalangan murid-murid, ia turut berperanan memelihara warisan bahasa dan budaya Islam dalam kalangan generasi muda.
 
Sepanjang karnival, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk pertandingan nasyid bertemakan hadis, pertandingan reruai Hadis 40 serta forum ilmiah yang memperkaya kefahaman pengunjung terhadap intipati Hadis 40 Imam Nawawi.
 
Para pempamer dari sekolah-sekolah sekitar Labuan turut berkongsi inovasi dan amalan baik berasaskan biah hadis menjadikan karnival ini sebagai platform pembelajaran yang menyeluruh dan interaktif.
 
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yahya Ahmad Puteh. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan, Ketua Penolong Pengarah, para Pengetua dan Guru Besar, asatizah, murid-murid serta pengunjung di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.
 
Rakan strategik, Majlis Agama Islam WP Labuan turut menyumbang kemeriahan melalui kuiz interaktif yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung. Pusat Pungutan Zakat dan Bank Islam Malaysia Berhad turut hadir memeriahkan acara.
 
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi pelbagai pertandingan sempena karnival, antaranya:
• Dai Cilik
• Mimbar Daie
• Hafazan Hadis
• Nasyid
• Reruai Hadis 40
• TikTok Challenge
• Hadis 40@School
• Pertandingan Inovasi Pendidikan
Karnival ini membuktikan bahawa usaha bersepadu dan semangat setiakawan dalam kalangan warga pendidikan mampu melahirkan program berimpak tinggi yang menyuburkan budaya ilmu memperkukuh nilai dan membina generasi MADANI yang berilmu, beradab dan berjiwa ihsan.