MAJLIS APRESIASI DAKWAH (MARWAH) 2025 SEMARAKKAN SEMANGAT ADAB DAN NILAI WARGA PENDIDIKAN LABUAN

LABUAN, 28 Oktober 2025 – Majlis Apresiasi Dakwah (MARWAH) peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Miri petang tadi.
 
Penganjuran MARWAH bertujuan memberikan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan Program Adab dan Nilai di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.
 
Majlis ini turut menjadi platform untuk meraikan jurulatih negeri serta peserta yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dalam program tersebut di peringkat kebangsaan, sebagai tanda pengiktirafan atas komitmen dan pencapaian cemerlang mereka.
 
Antara anugerah yang disampaikan pada majlis tersebut ialah Anugerah Terbaik Pencapaian Aktiviti Adab dan Nilai, Anugerah Terbaik Pengurusan Penarafan Surau/Musolla, Anugerah Pencapaian Terbaik Penguasaan Al-Quran, Anugerah Terbaik Pengurusan Panitia Pendidikan Islam serta Anugerah Ikon Citra Dakwah dan Kepemimpinan.
 
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik antaranya persembahan Kalam Arabi oleh adik Nwuwairah Nour Hasanah binti Samsulbahri dari Sekolah Kebangsaan Sungai Lada, serta persembahan nasyid oleh Kumpulan Al Intisar yang dianggotai oleh murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan. Persembahan tersebut telah memukau para hadirin dan menambahkan lagi kemeriahan suasana majlis.
 
Majlis MARWAH 2025 telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Yahya bin Ahmad Putih. Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah binti Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Maklumat dan ICT, Puan Murniza binti Mohammad serta Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas, Tuan Haji Sahbudin bin Ag Muhamad. Turut sama memeriahkan majlis ialah para pegawai jabatan, pengetua dan guru besar dari sekolah-sekolah sekitar Labuan.
 
Kehadiran tetamu kehormat dan penglibatan aktif warga pendidikan telah menjadikan MARWAH 2025 sebagai platform penting dalam menyemarakkan semangat dakwah serta memperkukuh nilai-nilai murni dalam kalangan warga pendidikan dan masyarakat setempat.