Bicara Profesional Pengarah Pendidikan Bersama Guru Pendidikan Khas

4 November 2025, Labuan – Seramai 86 orang guru pendidikan khas dari seluruh Wilayah Persekutuan Labuan telah menghadiri Program Bicara Profesional Pengarah Pendidikan Bersama Guru Pendidikan Khas yang diadakan di Dewan Raflesia, Kompleks Ujana Kewangan.
Program anjuran Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ini bertujuan meningkatkan profesionalisme, semangat kerjasama dan kualiti perkhidmatan dalam kalangan guru pendidikan khas bagi memperkukuh kesejahteraan dan pencapaian murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa guru pendidikan khas memainkan peranan penting dalam membentuk potensi dan masa depan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK). Beliau turut menyeru agar guru terus berinovasi dalam pendekatan PdPc dan mengekalkan semangat kasih sayang serta keikhlasan dalam mendidik.
Antara pengisian utama program ialah sesi Bicara Profesional: “Peranan Guru Pendidikan Khas dalam Melonjakkan Kemenjadian MBPK” dan sesi dialog interaktif bersama Pengarah Pendidikan. Sesi dialog ini memberi peluang kepada peserta meluahkan pandangan, mencadangkan penambahbaikan, serta membincangkan isu-isu sebenar berkaitan pelaksanaan pendidikan khas di sekolah.



















