MAJLIS SOLAT HAJAT PERDANA DAN DOA SELAMAT SPM 2025

Labuan, 8 November 2025 -Masjid Jamek An-Nur, Wilayah Persekutuan Labuan sekali lagi menjadi saksi kepada kebersamaan dan pengharapan warga pendidikan apabila Majlis Solat Hajat Perdana dan Doa Selamat untuk kelancaran pengoperasian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 telah berlangsung dengan penuh penghayatan.
 
Majlis ini bukan sekadar rutin tahunan, tetapi merupakan manifestasi kesyukuran, kasih sayang dan pengharapan seluruh warga pendidikan kepada Allah SWT agar anak-anak calon SPM seramai 1233 orang daripada sekolah harian, 15 calon swasta dan 106 calon persendirian dikurniakan ketenangan, kefahaman serta kejayaan yang diberkati.
 
Majlis dimulai dengan Solat Hajat yang diimami oleh ustaz Che Faisal daripada Jabatan Agama Islam, WP Labuan manakala slot motivasi telah disampaikan oleh ustaz Mohamad Salihin Hamden daripada Pejabat Mutfi WP Labuan.
 
Majlis telah diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) dengan kerjasama Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SPP).
 
Majlis ini turut mendapat sokongan padu daripada semua sekolah menengah, pihak Masjid Jamek An-Nur dan Jabatan Agama Islam WP Labuan.
 
Kehadiran para jemputan, asatizah, guru-guru, ibu bapa masyarakat setempat mencerminkan semangat kebersamaan dalam mendoakan kejayaan anak-anak serta membina jiwa rabbani dan karamah insaniah dalam kalangan warga sekolah dan komuniti.
 
Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Yahya Ahmad Puteh.
 
Semoga segala usaha yang dilaksanakan ini menjadi asbab kepada kejayaan cemerlang calon-calon SPM 2025 serta membawa keberkatan kepada seluruh warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.