KEM FITRAH KASIH PERINGKAT WP LABUAN: BINA JATI DIRI REMAJA MUSLIM

Labuan, 8 November 2025 – Masjid Jamek An-Nur, Labuan menjadi lokasi pelaksanaan Kem Fitrah Kasih Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung dengan penuh semangat dan penghayatan bermula seawal jam 7.00 pagi.
Program anjuran Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ini telah dikendalikan oleh Sekolah Menengah St. Anthony selaku pengelola utama.
Seramai 47 orang murid Islam dari SM St. Anthony dan SM St. Anne telah menyertai kem sehari ini yang bertujuan untuk memupuk nilai fitrah, kasih sayang serta penghayatan ibadah dalam kehidupan remaja Muslim.
Kem ini dirangka khusus bagi memperkukuh kefahaman peserta terhadap aspek spiritual dan praktikal dalam menjalani kehidupan beragama secara holistik, selaras dengan aspirasi pendidikan Islam yang menekankan pembentukan sahsiah dan jati diri.
Antara pengisian utama yang mencuri tumpuan ialah slot penghayatan ibadah haji yang disampaikan oleh Hajah Sina@Hasinah binti Alwi dari Tabung Haji Cawangan WP Labuan. Dalam sesi tersebut, para peserta diberi pendedahan menyeluruh mengenai rukun, syarat, dan hikmah ibadah haji, di samping simulasi ringkas perjalanan haji yang memberi gambaran jelas tentang pengalaman rohani di Tanah Suci.
Menurut Hajah Hasinah, program seumpama ini bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah berperanan besar dalam menyemai rasa cinta terhadap ibadah dan nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.
“Kem ini menjadi medan untuk membina jati diri Muslim yang berakhlak, berilmu dan beramal,” ujarnya ketika ditemui selepas sesi perkongsian.
Sepanjang program berlangsung, suasana harmoni dan ukhuwah jelas terpancar dalam kalangan peserta dan petugas. Kejayaan penganjuran kem ini turut disokong oleh kerjasama erat daripada pihak masjid, jawatankuasa program, guru-guru pengiring serta fasilitator yang komited dalam memastikan kelancaran setiap slot yang dirancang.
Para peserta menunjukkan semangat tinggi dan keterlibatan aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan, mencerminkan keberkesanan pendekatan yang digunakan dalam menyampaikan mesej-mesej dakwah dan pendidikan.
Kem Fitrah Kasih ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pendidikan Islam yang menyentuh hati, membina sahsiah dan memperkukuh jati diri murid secara menyeluruh di Wilayah Persekutuan Labuan.



















