KEM GENERASI MADANI AL QURAN DI HATI: Jayakan Misi Khatam Murid Tahun 6

Labuan, 8 November 2025 – Surau Darul Kifayah, Labuan bergema dengan lantunan ayat-ayat suci al-Quran apabila Program Khatam al-Quran Murid Tahun 6 berlangsung dengan jayanya.
Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini menghimpunkan murid-murid terpilih dari seluruh Labuan dalam usaha membantu murid khatam al-Quran sebelum melangkah ke alam menengah.
Program ini menyasarkan murid Tahun 6 yang telah mencapai sekurang-kurangnya Juzuk 10 dan memiliki tahap bacaan sederhana.
Mereka dibimbing oleh fasilitator muda yang terdiri daripada murid Tingkatan 2 hingga Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWPL) yang mempunyai bacaan cemerlang serta berkemampuan membimbing rakan sebaya.
Menurut data pencapaian khatam al-Quran murid Tahun 6 bagi sesi akademik 2024/2025, kadar pencapaian di peringkat kebangsaan hanya mencatatkan 44.16%. Justeru, program ini digerakkan sebagai inisiatif memperkukuh usaha mencapai sasaran nasional agar semua murid khatam sebelum ke sekolah menengah.
Sehingga Oktober 2025, pencapaian khatam al-Quran murid Tahun 6 di Wilayah Persekutuan Labuan telah mencecah 42.79%, satu petanda positif bahawa usaha berterusan seperti ini mampu melonjakkan lagi pencapaian ke arah sasaran yang ditetapkan.
Melalui program ini juga ia memberi ruang kepada murid SABK SMA MAIWPL untuk membimbing serta menyumbang dalam pembangunan sahsiah dan rohani rakan-rakan mereka.
Program ini bukan sahaja menjadi medan pengukuhan bacaan al-Quran, malah turut menyemai nilai kepimpinan, ukhuwah dan semangat Madani dalam kalangan generasi muda Islam.












