Program Literasi AI: Transformasi Pendidikan Digital

Labuan, 19 November 2025 – Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan
 
Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan hari ini (19 November 2025) melaksanakan Program Literasi AI: Transformasi Pendidikan Digital di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan dengan penyertaan lebih 300 murid dari SK St. Anne sebagai sekolah rintis AI Powered Classroom serta tiga sekolah jemputan iaitu SJKC Chi Wen, SK Pekan 1 dan SK Pekan 2. Program ini bertujuan memberi pendedahan asas kepada murid mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), aplikasi digital dalam PdP dan keselamatan internet selaras dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD).
 
Program ini turut disokong oleh rakan strategik Sasbadi Sdn. Bhd. melalui sesi interaktif Sasbadi ACE IT serta MCMC Wilayah Persekutuan Labuan melalui Kempen Internet Selamat. Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, pihak Jabatan menyediakan 300 unit Chromebook sewaan, capaian WiFi, pengangkutan serta makan minum kepada semua peserta.
 
Perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, yang menekankan kepentingan literasi AI dalam membentuk generasi murid yang bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa depan. Jabatan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan akan terus komited mengukuhkan transformasi pendidikan digital di Labuan.