SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN RAIKAN 98 GRADUAN TINGKATAN 5 TAHUN 2025

Labuan, 22 Nov 2025 – SMK Taman Perumahan Bedaun telah menganjurkan satu Majlis Graduasi Murid Tingkatan 5 bagi sesi 2025 dalam suasana penuh gemilang di Palm Beach Resort pada 22 November 2025.

Majlis yang bermula seawal jam 7.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari itu diadakan khusus sebagai pengiktirafan kepada usaha dan kejayaan para pelajar yang telah menamatkan sesi persekolahan menengah mereka. Seramai 98 orang graduan Tingkatan 5 telah diraikan dalam majlis penuh bermakna ini.

Acara tahunan yang gilang gemilang ini telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah Unit Pengurusan Bakat, Sektor Sumber Manusia JPWPL, selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Encik Azeryn Hj Mamma. Dalam ucapannya, Encik Azeryn mengucapkan tahniah kepada semua graduan atas pencapaian mereka dan menekankan kepentingan untuk terus berusaha dan menyesuaikan diri dengan cabaran pendidikan yang lebih tinggi dan alam pekerjaan.

“Graduasi ini bukanlah penamat, sebaliknya adalah permulaan kepada babak baharu dalam kehidupan anda. Tanamkan semangat ingin belajar sepanjang hayat dan jadikan ilmu sebagai panduan,” katanya.

Kehadiran seramai 98 orang ibu bapa menunjukkan sokongan padu komuniti terhadap kecemerlangan akademik pelajar. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang berterusan daripada ibu bapa dan Penjaga dalam memastikan kejayaan anak-anak mereka. Turut hadir sepanjang majlis dijalankan, Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, IPD W.P Labuan merangkap Pegawai Perhubungan, ASP Ruslan Tarai, Naib Yang Dipertua PIBG sekolah, Encik Halmi Hussein, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San dan Penolong Kanan HEM, Puan Seri Kandi Muali.

Encik Azeryn Hj Mamma

Puan Norazita Md Nor

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Norazita Md Nor @ Shamsuri dalam ucapan alu-aluannya, mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk hadir ke majlis graduasi kali ini yang diadakan secara tahunan. Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian para pelajar dan berharap mereka akan terus mengharumkan nama sekolah di masa hadapan. Beliau turut mendorong murid-murid untuk terus berusaha dan merebut peluang yang terbentang luas di hadapan mereka.

Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan persembahan nyanyian solo pelajar dan sesi penyampaian sijil graduasi serta anugerah khas kepada pelajar cemerlang. Majlis ini diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dan sesi bergambar.