SESI SEKOLAH 2026 BERJALAN LANCAR, IBU BAPA GEMBIRA BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN

LABUAN, 12 Januari 2026 – Seramai 19,001 pelajar memulakan Sesi Persekolahan 2026 di 27 buah sekolah. Daripada jumlah itu, seramai 7,982 murid sekolah menengah dan 10,200 murid sekolah rendah manakala selebihnya 819 merupakan murid prasekolah.
 
Hari pertama persekolahan berjalan lancar dengan kehadiran murid-murid hadir ke sekolah dengan semangat dan iltizam. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh berkata, bagi tahun 2026 juga pelbagai inisiatif telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia termasuklah Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
 
Sebanyak RM2,722,650 juta BAP telah diperuntukkan untuk wilayah persekolahan Labuan melibatkan seramai 18,151 murid. “Jadi saya percaya dengan bantuan ini akan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh ibu bapa bagi mempersiapkan diri anak-anak murid untuk ke sekolah”, katanya.
 
Tambahnya, pengagihan BAP sebanyak 150-ringgit untuk seorang pelajar akan mula disalurkan oleh pihak sekolah dalam minggu ini. Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Minggu Transisi dan Guru Penyayang serta hari pertama sesi 2026 di Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS), pagi tadi.
 
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui zahir penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif Bantuan Awal Persekolahan. Affizul Ariffin, bapa bagi murid tahun satu, zahir penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif BAP.
 
“Terima kasih kepada KPM dan kerajaan Malaysia kerana telah memberikan bantuan awal persekolahanlah, lebih-lebih lagi ibu bapa macam kali lah, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban juga,” katanya.
 
“Sangat membantulah sebenarnya, sebab sekarang ni pun dengan ekonomi agak tak berapa bagus, sangat membantu untuk membeli barang tambahan barang sekolah,” ibu kepada murid tahun satu, Nur Hafizah Ahmad Yakub.
 
Hadir sama, pegawai JPN Labuan dan Guru Besar SKPS Anita Shyamini S. Azman Swaminathan.
 
SUMBER BERITA : FB BES LABUAN