Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 16 januari 2026 – Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, bertempat di Bilik Seminar Rafflesia, Ujana Kewangan, Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Turut hadir bersama adalah YB. Dato’ Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen P.166-Labuan, YBrs Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Majlis Pengurusan Tertinggi Jabatan, para Pengetua, Guru Besar, Guru Penolong Kanan HEM, pengamal media, murid dan waris masing-masing.
 
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang disalurkan kepada semua murid Tahun Satu hingga Tingkatan Enam. Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
 
BAP bernilai RM150.00 ini diberikan kepada semua murid warganegara Malaysia tanpa mengira had pendapatan ibu bapa dan memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan akibat kekangan kewangan.
 
Sebagai simbolik penyerahan BAP, seramai 30 orang ibu bapa/ penjaga penerima BAP telah dijemput untuk menerima bantuan tersebut dalam Majlis Penyerahan BAP peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung pada pagi ini.
 
Dharapkan bantuan ini dapat memberi manfaat secara berterusan, sekali gus menyokong usaha memperkukuh akses pendidikan yang inklusif dan berkualiti di Wilayah Persekutuan Labuan.
Tahun Ini, Tahun Kita