LABUAN KOMITED LANCARKAN KEJOHANAN MERENTAS DESA KEBANGSAAN 2026

Labuan, 22 Januari 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengukuhkan komitmen bagi memastikan kelancaran Pengelolaan Merentas Desa Kebangsaan 2026, dengan Labuan bertindak sebagai tuan rumah pada 25 April 2026.
 
Komitmen ini dizahirkan dalam Mesyuarat Pengurusan Sukan Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan, YBrs. Yahya bin Ahmad Puteh. Mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan agenda utama persiapan kejohanan peringkat kebangsaan itu turut dihadiri oleh Majlis Pengurusan Tertinggi jabatan serta Pengetua dan Guru Besar semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
YBrs. Yahya Ahmad Puteh dalam ucapannya menyatakan bahawa pihak pengurusan amat komited dalam memastikan kejayaan program ini dan sentiasa menyokong penuh perkembangan serta program sukan di bawah seliaan Sektor Pembangunan Murid.
 
Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan Takwim MSSWPL 2026 oleh semua sekolah agar tidak mengganggu kelancaran keseluruhan program dan takwim jabatan. Pengarah selaku pengerusi mesyuarat berharap agar perancangan yang telah diatur dapat berjalan dengan lancar.
 
Sebagai rekod, persiapan awal bagi kejohanan di Labuan ini termasuklah Mesyuarat Induk Kejohanan Merentas Desa MSSWPL Bil 1/2026 yang telah membincangkan maklumat kejohanan peringkat wilayah.
 
Kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2026 peringkat wilayah dijangka akan diadakan pada 10 Februari 2026 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, dengan pengelola bersama oleh SM St. Anthony dan SK Lubok Temiang.