Ramadan Jadi Pemacu Transformasi RPM 2026-2035: JPWPL Tekad Perkasakan Karakter Penjawat Awam

Labuan, 6 Februari 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menyuntik semangat baharu dalam kalangan warga pendidiknya melalui Majlis Ambang Ramadan 2026/1448H yang berlangsung di Pusat Ko-Kurikulum Negeri, Ganggarak pagi tadi.
 
Membawa tema “Ramadan Ini, Ramadan Kita”, majlis tersebut bukan sekadar manifestasi kesyukuran menyambut bulan al-Mubarak malah menjadi wadah penyelarasan komitmen jabatan terhadap Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
 
Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yahya bin Ahmad Puteh dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa nilai disiplin dan ketabahan yang dididik melalui ibadah puasa adalah selari dengan tuntutan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2036.
 
“RPM 2026-2035 adalah kompas kita dalam mendepani cabaran pendidikan yang semakin kompleks. Ia menuntut daya tahan (resilience) yang tinggi dan jiwa yang cekal. Ramadan adalah masa terbaik untuk kita mengukuhkan aspek Karamah Insani dalam diri sebelum kita menterjemahkannya kepada anak didik di pulau Labuan yang kita sayangi,” ujar beliau.
 
Majlis yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu diisi dengan pengisian rohani yang padat, dimulakan dengan bacaan surah Al-Kahfi, Yaasin, Tahlil dan doa selamat bagi memohon keberkatan buat seluruh warga jabatan.
 
Bagi memperkukuh sahsiah penjawat awam, slot tazkirah bertajuk “Ramadan Kali Ini, Bukan Sekadar Puasa” telah disampaikan oleh Ustaz Ibrahim bin Mat dari Kolej Matrikulasi Labuan. Ini disusuli dengan sesi Bicara Integriti oleh Encik Mohamad Khairul Rizal bin Juni yang memfokuskan kepada keterampilan diri sebagai cerminan profesionalisme penjawat awam.
 
Pada majlis yang sama, Encik Yahya turut menyempurnakan pelancaran Program Ihya’ Ramadan 2026 dan Tabung Sumbangan Ihya’ Ramadan sebagai simbolik bermulanya aktiviti kebajikan sepanjang bulan tersebut.
 
Tayangan montaj aktiviti turut dipersembahkan bagi memberi gambaran perjalanan program yang telah dirancang sepanjang Ramadan.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah barisan pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai daripada pelbagai sektor Jabatan Pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.