BERSATU MENGIMARAHKAN RAMADAN: JPWPL JAYAKAN MAJLIS KHATAM AL-QURAN 2026

Labuan, 16 Mac 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penutupan Program Ihya’ Ramadan 2026 dengan penuh keberkatan di Pusat Ko Kurikulum Negeri, Ganggarak petang tadi.
Majlis dimulakan dengan bacaan khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim dan Ustaz Syahnon bin Othman. Seramai 43 orang penerima sumbangan duit raya diraikan dalam majlis ini, manakala pemenang pertandingan sepanjang Program Ihya’ Ramadan turut menerima hadiah. Antaranya penyampaian hadiah bagi Pertandingan Sihat Ramadan iaitu pertandingan tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan yang berlangsung dengan penuh semangat.
Selain itu, seramai 11 peserta Pertandingan Tulisan Jawi Cantik serta peserta Pertandingan Azan turut menerima hadiah sebagai penghargaan atas usaha dan bakat mereka.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ustaz Mohd Suhaimi bin Mohd Yusof, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Islam WP Labuan (JAWI), Puan Norjamimah binti Ahmad, Ketua Unit Operasi Majlis Agama Islam WP Labuan, Ustaz Mohd Zaki bin Mat Salleh, JAWI Labuan, Encik Hasnul Hadi bin Sariman, Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan.
Dalam ucapan perasmian, Pengarah Pendidikan JPWPL, En Yahya Ahmad Puteh menekankan bahawa Ramadan mendidik umat Islam dengan nilai sabar, ikhlas dan kesederhanaan yang menjadi asas pembentukan insan sejahtera. Beliau turut merakamkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan melaksanakan program dengan penuh komitmen, serta mengingatkan warga pendidikan agar memanfaatkan baki Ramadan dengan sepenuh hati dengan merebut peluang malam Lailatul Qadr.
Majlis yang berlangsung penuh meriah ini bukan sahaja menghidupkan roh Ramadan, malah menyuburkan budaya ilmu, ibadah dan ukhuwah dalam kalangan warga Pendidikan.





















