Labuan – Bengkel ini merupakan satu inisiatif strategik yang dirangka khusus bagi menyokong sekolah rendah dalam memperkukuh pengisian Sistem Kualiti @ Sekolah (SK@S), terutamanya dalam aspek pencapaian Standard 5.4.1 dan 5.4.2. Pelaksanaan bengkel ini bertujuan meningkatkan kefahaman, kecekapan serta kualiti pelaporan sekolah agar selari dengan kehendak penilaian standard yang telah ditetapkan.
Program ini dianjurkan secara kolaboratif oleh lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan, Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam, Sekolah Kebangsaan Kerupang, Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, Sekolah Kebangsaan Pekan Dua bersama Sektor Perancangan. Kerjasama strategik antara penganjur ini mencerminkan komitmen bersepadu dalam memperkasa amalan pengurusan kualiti pendidikan di peringkat sekolah rendah.
Bengkel ini telah dihadiri oleh Tuan Pengarah Jabatan Pendidikan, Encik Yahya Bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Puan Noraini Bt Sabudin, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Encik Ag Rozlan bin Manan dan Pegawai Meja SK@S, Encik Airol Azmi Bin Abd Gani.
Bengkel ini telah menampilkan Tuan Haji Mohd Nizam bin Yasim, School Improvement Partner Plus (SIP+) dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan sebagai penceramah jemputan. Mereka telah menyampaikan input yang komprehensif, berfokus dan berimpak tinggi berkaitan kaedah pengisian SK@S yang efektif, di samping berkongsi amalan terbaik (best practices) serta strategi peningkatan kualiti berterusan.
Secara keseluruhannya, bengkel ini diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada peserta dalam meningkatkan keupayaan pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan SK@S secara lebih sistematik, tepat dan berkualiti, seterusnya menyumbang kepada peningkatan prestasi serta kecemerlangan organisasi sekolah secara menyeluruh.











![]()

