SESI LIBAT URUS DAN MAJLIS PELANTIKAN PETUGAS DASAR PENDIDIKAN DIGITAL 2026

Labuan, 6 Mei 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan melalui Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan telah mengadakan Sesi Libat Urus Petugas Dasar Pendidikan Digital (DPD) 2026 bertempat di Bilik KIAMSAM, SSTP.
 
Sesi ini diadakan bagi menyelaraskan kefahaman dan gerak kerja pelaksanaan agenda pendigitalan pendidikan di peringkat negeri, khususnya berkaitan hala tuju Dasar Pendidikan Digital, struktur tadbir urus pelaksanaan, enam teras utama DPD serta peranan setiap sektor dalam menyokong ekosistem pendidikan digital secara menyeluruh.
 
Pada hari yang sama, turut diadakan Majlis Pelantikan Petugas Dasar Pendidikan Digital Tahun 2026 sebagai simbol komitmen dan pengiktirafan kepada pegawai yang akan bersama-sama menggerakkan pelaksanaan DPD di peringkat Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Pelantikan ini melibatkan petugas daripada pelbagai sektor yang berperanan secara kolaboratif dalam aspek pembelajaran digital, pembangunan murid, pendidikan Islam, pendidikan khas, pengurusan maklumat, pengurusan sekolah, sumber manusia, infrastruktur dan perolehan serta penyelarasan teknologi pendidikan.
 
Melalui pelantikan ini, diharapkan semua petugas DPD dapat memainkan peranan sebagai pembimbing, pemudah cara, pemantau dan penggerak utama dalam memastikan agenda pendidikan digital dapat dilaksanakan secara terancang, berfokus dan berimpak di sekolah-sekolah WP Labuan.
DPD bukan tanggungjawab satu sektor sahaja, tetapi agenda bersama yang memerlukan kesepakatan seluruh ekosistem pendidikan.
 
Satu Pasukan, Satu Sasaran: Pendidikan Digital untuk Semua.