Kem Literasi Al-Quran WP Labuan: Membina Generasi Celik Al-Quran

Labuan, 8 Mei 2026 – Program Kem Literasi Al-Quran Siri 1/2026 Peringkat Negeri telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Jamek An-Nur bermula jam 7.00 pagi.
 
Seramai 92 murid Tahun 6 dan 23 guru pendidikan islam daripada semua sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai program ini yang memberi fokus kepada usaha memperkukuh kemahiran bacaan dan kefahaman Al-Quran.
 
Program ini dianjurkan bagi memastikan murid Tahun 6 mencapai tahap literasi Al-Quran yang baik sebelum melangkah ke sekolah menengah.
 
Antara objektif utama ialah menyokong pencapaian sasaran KPI Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebanyak 98.5% murid Tahun 6 menguasai Al-Quran, selain menyemai kecintaan terhadap Al-Quran sebagai panduan hidup dan sumber kekuatan rohani.
 
Seramai 23 orang murid berjaya melepasi iqra 3 dalam kem yang dilaksanakan hari ini.
Pelaksanaan program ini turut selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menekankan pembangunan holistik murid melalui keseimbangan ilmu, kemahiran dan nilai.
 
Kem Literasi Al-Quran menjadi wahana penting dalam menyokong kemenjadian murid, iaitu melahirkan generasi yang celik Al-Quran, berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada nilai-nilai MADANI.
 
🌿 Kem Literasi Al-Quran – Membina generasi celik Al-Quran, menjayakan kemenjadian murid seiring aspirasi RPM 2026–2035.