Kem Fitrah Kasih (KEMFIKA) Sekolah Rendah Peringkt WP Labuan Tahun 2026

Labuan, 8 Mei 2026 – Program Kem Fitrah Kasih (KEMFIKA) Sekolah Rendah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Sultan Muhammad bermula jam 7.30 pagi.
 
Program yang dikelolakan oleh SJKC Chi Wen ini melibatkan seramai 56 murid Tahun 6 dengan bimbingan 12 guru Pendidikan Islam daripada SJKC Chi Wen, SJKC Chung Hwa dan SK St Anne yang bertindak sebagai fasilitator.
 
Objektif utama KEMFIKA adalah memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan murid muslim, menyemai rasa kasih sayang dan semangat kebersamaan serta membentuk sahsiah murid yang seimbang dari aspek intelek, rohani dan jasmani.
 
Pengisian utama program ialah pengurusan jenazah yang dikendalikan oleh Ustaz Ibrahim bin Mat, pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan.
 
Lebih istimewa para peserta turut berpeluang menyaksikan sendiri proses pengurusan jenazah yang kebetulan berlangsung di masjid berkenaan, seterusnya menunaikan solat jenazah.
Para peserta turut diberi pendedahan tentang kaifiat solat jenazah, adab terhadap jenazah, serta kaifiat mengiringi jenazah ke kubur.
 
Pengalaman ini bukan sahaja memberi ilmu fardu kifayah, tetapi juga mendidik murid dengan nilai insaniah yang mendalam. Ia selaras dengan Strategik 4 Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, iaitu pembinaan sahsiah dan karektor murid.
 
Melalui program ini, murid dididik menjadi insan yang berakhlak mulia, berjiwa penyayang serta bertanggungjawab terhadap masyarakat.
 
Harapan daripada pelaksanaan KEMFIKA ialah agar murid terus membina jati diri yang kukuh, menghayati nilai MADANI dalam kehidupan seharian, dan menjadi generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga seimbang dari segi sahsiah dan karektor.

Loading

image_pdfimage_print