Bengkel Pengurusan Pentaksiran Autentik Mata Pelajaran Sains Peringkat JPWP Labuan 2026

Labuan, 9 Mei 2026 – Seramai 56 orang guru Sains sekolah rendah dan sekolah menengah serta guru RBT telah menyertai Bengkel Pengurusan Pentaksiran Autentik Mata Pelajaran Sains Peringkat JPWP Labuan yang bertujuan memperkukuh kompetensi guru dalam melaksanakan pentaksiran autentik secara lebih sistematik, bermakna dan berfokus kepada perkembangan murid secara holistik.
 
Bengkel ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan, YBrs. Dr. Haiza Atmareni Harmeni, Pensyarah IPGM Kampus Gaya, yang telah berkongsi pelbagai input berkaitan pengurusan pentaksiran autentik, pembinaan instrumen serta amalan penilaian alternatif dalam PdP Sains.
 
Antara aktiviti utama bengkel ialah pembinaan rubrik penilaian bagi pelaksanaan penilaian alternatif Sains sekolah rendah dan sekolah menengah. Peserta turut dibimbing membina kriteria penilaian yang lebih jelas, autentik dan selaras dengan objektif pembelajaran serta kehendak kurikulum semasa.
 
Turut hadir menyantuni peserta ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, En. Ag. Rozlan Manan, yang menekankan kepentingan guru melaksanakan pentaksiran yang mampu menilai penguasaan sebenar murid dari aspek pengetahuan, kemahiran saintifik, kreativiti, komunikasi dan penyelesaian masalah.
 
✅ Outcome Program:
* Guru memahami konsep dan pengurusan pentaksiran autentik dalam mata pelajaran Sains.
* Terhasil draf rubrik penilaian alternatif yang boleh digunakan dan disesuaikan di sekolah.
* Guru meningkatkan kemahiran membina instrumen pentaksiran yang lebih berkualiti dan bermakna.
🌟 Impak Program:
* Pentaksiran bilik darjah dapat dilaksanakan secara lebih autentik dan berfokus kepada pembelajaran murid.
* Meningkatkan penglibatan aktif murid melalui tugasan berasaskan penyiasatan, projek dan aplikasi dunia sebenar.
* Menyokong pembangunan kemahiran abad ke-21 serta pengukuhan literasi sains murid selaras dengan aspirasi pendidikan negara.