Majlis Penyerahan Bendera MSSWPL ke MSSM 2026

LABUAN, 20 Mei 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2026 bertempat di Pusat Kokurikulum Negeri, hari ini.
 
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yahya bin Ahmad Putih selaku Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan sektor pembangunan murid, pengerusi teknik pembangunan sukan negeri, jurulatih, guru pengiring, ibu bapa serta para atlet MSSWPL.
 
Dalam ucapan beliau, Pengarah Pendidikan memaklumkan bahawa seramai 119 orang atlet dan 42 orang guru akan mewakili W.P. Labuan dalam Kejohanan MSSM Fasa 1 Tahun 2026 melibatkan sembilan jenis sukan iaitu akuatik, bola tampar, catur, golf, bola keranjang, tenis, memanah, badminton dan ragbi.
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Negeri, jurulatih serta guru-guru yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan persediaan atlet berjalan lancar melalui latihan pusat dan proses pemilihan atlet terbaik ke peringkat kebangsaan.
 
Menurut beliau lagi, beberapa kontinjen mencatat sejarah tersendiri pada tahun ini termasuk kontinjen catur yang menghantar penyertaan penuh seramai 36 atlet, manakala kontinjen golf pula merekodkan penyertaan tertinggi dalam sejarah penglibatan MSSWPL berikutan lokasi kejohanan yang diadakan di negeri Sabah.
 
Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan ke MSSM bukan sekadar untuk menimba pengalaman, sebaliknya membawa misi untuk mencipta kejayaan dan membawa pulang pingat demi mengharumkan nama Labuan di persada kebangsaan.
 
“JPWPL, guru-guru, jurulatih, ibu bapa dan seluruh warga Labuan menaruh harapan tinggi kepada atlet-atlet yang terpilih. Jagalah disiplin, kesihatan dan nama baik Labuan sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.
 
Majlis diteruskan dengan acara simbolik penyerahan bendera Labuan kepada pengurus-pengurus pasukan bagi setiap kontinjen sebagai tanda amanah dan semangat perjuangan membawa nama wilayah ke Kejohanan MSSM yang akan berlangsung bermula 5 Jun 2026 di beberapa negeri seluruh negara.
 
Antara kontinjen yang menerima bendera ialah Akuatik ke Perak, Bola Tampar ke Putrajaya, Catur ke Miri, Golf ke Sabah, Bola Keranjang ke Pulau Pinang, Tenis ke Johor, Memanah ke Selangor, Badminton ke Kedah dan Ragbi ke Perak.
 
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen sebelum taklimat akhir kejohanan diadakan kepada semua peserta dan guru pengiring.