Labuan, 22 Julai 2026 – Kelab Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (KELPEN) telah menganjurkan Malam Apresiasi: Menjulang Budi, Mengabadikan Legasi sebagai tanda penghargaan kepada dua tokoh pendidikan yang telah menabur bakti dengan penuh dedikasi sepanjang perkhidmatan mereka.
Majlis ini diadakan bagi meraikan Yang Berbahagia Datuk Haji Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah yang akan menamatkan perkhidmatan dan bersara pada 27 Julai 2026, serta Encik Awang Marten bin Datuk Abdul Rahman, yang telah menamatkan perkhidmatan beliau pada 19 Julai 2026.
Majlis turut dihadiri oleh warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, para Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan, serta wakil Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Labuan. Kehadiran semua tetamu bukan sahaja menyerikan majlis, malah menjadi lambang penghargaan dan penghormatan terhadap jasa serta kepimpinan kedua-dua tokoh yang diraikan.
Sepanjang perjalanan kerjaya mereka, kedua-dua pemimpin ini telah memimpin dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan komitmen tinggi dalam memperkasakan sistem pendidikan. Sumbangan, pengorbanan dan kepimpinan yang dicurahkan telah meninggalkan legasi yang cukup bermakna dan akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidikan.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama KELPEN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa, bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan. Semoga segala usaha murni yang telah ditaburkan menjadi amal jariah yang berpanjangan dan terus menginspirasikan generasi pendidik pada masa hadapan.
Selamat bersara kepada Yang Berbahagia Datuk Haji Raisin bin Saidin dan Encik Awang Marten bin Datuk Abdul Rahman. Terima kasih atas segala jasa, budi dan kepimpinan yang telah ditinggalkan. Semoga dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan berpanjangan serta sentiasa berada dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT.
“Menjulang budi, mengabadikan legasi. Jasa dikenang, inspirasi diteruskan.”















![]()

