LABUAN – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan program sekolah bitara SPM 2026 ‘Selangkah ke Menara Gading’ dengan sasaran kepada calon SPM 2026 iaitu seramai 102 orang calon. Program ini telah diadakan selama 4 hari iaitu bermula 13 sehingga 16 Julai 2026 bertempat di Dewan Sri Timbalai,Pusat Koreksional WP Labuan.
Terdapat beberapa objektif program yang ingin dicapai program ini dilaksanakan selama tiga tahun berturut-turut.Antaranya ialah membantu murid dalam kaedah dan teknik menjawab soalan format SPM sebenar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains dan Kimia.
Seterusnya, program yang diadakan ini juga diharap dapat membina keyakinan diri kepada murid SPM 2026 bahawa mereka boleh mencapai kejayaan jika berusaha tanpa mengenal erti jemu dengan cara menanamkan sikap positif, meningkatkan keyakinan diri, bekerjasama dan bersungguh-sungguh dalam Pelajaran.Di samping itu, objektif utama program ini dilaksanakan ialah agar murid mampu mencapai keputusan yang lebih baik dalam SPM 2026 yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan juga membantu meningkatkan prestasi serta penarafan sekolah khususnya dalam Standard Kualiti Sekolah (SK@S). Justeru itu,program yang telah lama dirangka ini adalah ingin membantu dalam meningkatkan motivasi murid SPM 2026 agar sentiasa bersemangat tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.




Terdapat pelbagai slot ataupun bengkel teknik menjawab telah dilaksanakan sepanjang 4 hari program tersebut berlangsung.Sepanjang program ini berlangsung, banyak perkongsian teknik menjawab soalan yang telah diberikan oleh penceramah-penceramah jemputan bagi mata pelajaran yang terlibat.
Perkongsian Teknik menjawab SPM yang telah diberikan oleh para penceramah diharapkan dapat membantu murid untuk menggunakan peluang dan ruang yang ada bagi menjawab persoalan yang berkaitan dengan permasalahan yang berlegar di minda murid untuk mengetahui isi dan markah yang mencukupi dalam peperiksaan nanti. Teknik yang dikongsi ini juga seharusnya akan membuka mata serta menggalakkan lagi murid untuk memberikan isi dan jawapan yang cukup serta relevan dengan skema pemarkahan.
Dalam setiap slot bengkel teknik menjawab ini juga telah diisi dengan memberikan sijil penghargaan dan hamper kepada peserta yang paling aktif dalam bengkel tersebut. Selain itu, pihak unit bimbingan dan kaunseling sekolah juga telah mengambil peluang ini dengan mengadakan slot motivasi sebagai penyuntik semangat kepada smua calon SPM 2026 dengan menjemput penceramah dari MSU Kota Kinabalu iaitu En Suif Sainan. Melalui slot motivasi ini juga, calon-calon SPM 2026 lebih berani dan dapat membuka mata mereka berkaitan peluang dan tindakan yang perlu dilakukan bagi mencapai kejayaan pada masa akan datang.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun



(Slot motivasi)- Nur Afiqah Aida binti Taufiq Aaron
![]()

