SMK Labuan Tubuhkan Task Force Sekolah Hotspot

Duduk dari kiri : Osman Kadir, Hj Md Yusof Hj Chuchu, Ismail Abdullah, ASP Halimah Abdullah, Ramli Bakar, Mohd Farhan Mohd Harun. Berdiri dari kiri : Ag Rozlan Manan (PK Pentadbiran), Saminan Sabtu (PK Pra U), Zalina Zunkepely (PK HEM)

Labuan 9 Oktober – Hasil daripada Mesyuarat Permuafakatan SMK Labuan Bersama Agensi Kerajaan dan NGO pada  5 Oktober 2017 lalu, telah bersepakat untuk  menubuhkan Task Force Sekolah Hotspot yang dianggotai bersama Rakan Strategik Sekolah.

Task Force Sekolah Hotspot terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM),  Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kesihatan WP Labuan, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan Ketua Kampung Gersik Saguking.

Berdasarkan kenyataan akhbar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Sekolah Hotspot bermaksud sekolah yang berada dalam kawasan atau tempat yang berisiko.

Jelasnya kawasan-kawasan yang sering berlaku gejala-gejala tidak sihat seperti jenayah atau seumpamanya. Ini bermakna sekolah yang berada dalam kawasan hotspot bukan bermakna sekolah tersebut secara semulajadinya (in nature) menjadi punca kepada permasalahan murid.

Oleh kerana latar belakang permasalahan ini adalah pelbagai, maka KPM telah bersetuju agar ianya dapat ditangani bersama oleh pelbagai pihak termasuk PIBG dan kepimpinan masyarakat setempat bagi membantu pihak sekolah dalam usaha mengekang permasalahan disiplin di sekolah.

Salah satu inisiatif utama yang telah dipersetujui bersama adalah inisiatif NBOS, iaitu melaksanakan program pencegahan secara bersama dengan agensi-agensi dan NGO tersebut.

Dari kiri : Osman Kadir (Ketua Kampung Gersik Saguking), Ismail Abdullah (Pengetua), Hj Md Yusof Hj Chuchu (YDP PIBG)

Antara persefahaman yang dicapai dalam mesyuarat tersebut ialah PDRM akan membantu dari segi memberi ceramah dan pameran berkaitan isu disiplin, jenayah dan narkotik termasuk mengadakan rondaan bersama jabatan dan agensi lain ke lokasi-lokasi yang dikenalpasti.

Sehubungan dengan itu, PDRM memerlukan bantuan maklumat daripada pihak kepimpinan kampung dan agensi-agensi lain termasuk NGO.

AADK  pula akan memberi khidmat nasihat dalam bentuk ceramah dan pameran AADK, selain melaksanakan ujian urin jika ada permintaan serta berkerjasama dengan pihak sekolah menyampaikan mesej anti dadah secara berterusan.

Jabatan kesihatan akan berkerjasama dengan Unit Pendidikan Kesihatan Sekolah dalam memberi perkhidmatan kesihatan kepada murid-murid termasuk klinik berhenti merokok.

Unit Inspektorat dan Perundangan melalui Unit Sub Risikan boleh memberi bimbingan dan nasihat kepada murid-murid yang terlibat merokok, juga boleh menguatkuasakan kompaun atas kesalahan merokok. Unit Kelab Doktor Muda pula menggerakkan rakan sebaya berkaitan masalah remaja, mempengaruhi rakan-rakan supaya tidak terjebak dalam masalah disiplin.

Program kesedaran kampung dengan mengadakan kerjasama bersepadu dengan jabatan, agensi, NGO serta pihak SMK Labuan melibatkan murid-murid dan ibu bapa akan dibantu oleh Ketua Kampung dan PIBG.

Pihak sekolah sangat menghargai sumbangan idea yang diberikan oleh agensi kerajaan dan NGO . Harapan agar SMK Labuan terhindar daripada masalah disiplin dan risiko-risiko lain. Semuanya boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak secara berterusan.

Murid-murid SMK Labuan tidak tergugat dengan status sekolah hotspot dan terus berusaha mencapai kejayaan . Sebagai buktinya dalam bulan September SMK Labuan telah mencapai 3 kejayaan di peringkat kebangsaan iaitu :

  1. The Most Dedicated School Award Level Up @ School
  2. The Best Project of My Digital Maker Computer Club Award
  3. Peserta Perempuan Terbaik Program Pendidikan Luar Peringkat Kebangsaan (Noor Azizah binti Abd Aziz)

Rakan Strategik Sekolah juga bersifat dinamik, keahliannya akan berubah dan bertambah mengikut keperluan semasa. Beberapa pihak yang akan dilibatkan seperti Jabatan Pendidikan WP Labuan, Perbadanan Labuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi / NGO lain yang akan difikirkan dari semasa ke semasa.

Sumber Berita : SMK Labuan

 

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.