Pameran Seni Visual STPM Pra U SMK Labuan 2017
Labuan : Pameran Seni Visual STPM Pra U SMK Labuan telah diadakan di Dewan Mutiara, SMK Labuan pada 13 Oktober 2017 yang telah dirasmikan sendiri oleh Pengetua Encik Ismail Abdullah.
Pameran yang disertai oleh 33 orang pelajar 6 Atas ini merupakan salah satu syarat yang harus dipenuhi oleh pelajar-pelajar tingkatan 6 atas yang mengambil mata pelajaran Seni Visual STPM.
Para pelajar perlu menghasilkan projek Kajian Seni Visual berteraskan kepada penyelidikan yang terbahagi kepada dua aspek iaitu pengkaryaan dan perekaan.
Pada tahun ini, dalam aspek pengkaryaan, pelajar perlu menghasilkan karya bertemakan “BANGKIT”. Manakala dalam aspek perekaan, pelajar perlu mereka model kereta untuk aktiviti lasak.
Objektif pameran ini di adakan adalah untuk menunjukkan kekuatan gaya penampilan karya yang tersendiri, mengetengahkan idea yang asli dan baharu dalam pengkaryaan perekaan serta menunjukkan kesungguhan meneroka ilmu menerusi rujukan, eksperimentasi dan eksplorasi.
Para pelajar perlu memberi hujah secara yakin terhadap konsep, bentuk dan sumbangan karya mengikut kesesuaian konteks, menampilkan kebolehan mengorganisasi secara berkesan melalui persembahan dan peragaan karya, selain mengemukakan pemikiran kritikal, analitikal dalam perbincangan dan perbahasan Seni Visual.
Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail berharap pelajar-pelajr mendapat kejayaan yang cemerlang dalam mata pelajaran Seni Visual khasnya dan semua mata pelajaran STPM amnya.
Turut hadir En Saminan Sabtu (PK Pra U), En Azize Mohd Yusoph (Pensyarah Seni Visual SMKL), Cik Rosnanih Amat ( Pensyarah Seni Visual SMKL), Semua pensyarah dan semua pelajar Pra U SMKL