Labuan, 23 Okt – Seramai 1,394 guru Labuan menerima tablet dilengkapi perisian Tutor Guru dan e-paper Utusan Malaysia secara berperingkat bermula 23hb Okt sehingga 27hb Okt 2017.
Majlis Perasmian penyerahan tablet yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) St Anne, Sekolah Kluster Kecemerlangan telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Dalam ucapannya, beliau menyeru guru-guru memanfaatkan kemudahan tablet yang diberikan dengan menyesuaikan gaya penyampaian seiring dengan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.
Seiring dengan peredaran zaman yang menyaksikan penggunaan gajet serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), guru-guru Labuan tidak seharusnya ketinggalan, katanya.
Pemberian tablet yang dilengkapi dengan perisian Tutor Guru serta e-Paper Utusan Malaysia ini bertujuan memudahkan proses penyediaan lembaran kerja secara digital dalam kalangan guru bagi membolehkan mereka melakukan perancangan pengajaran di mana-mana sahaja tanpa mengira masa.
Perisian Tutor Guru membantu guru mengakses pangkalan data soalan dan memudahkan mereka menyediakan latihan kepada murid.
Manakala e-Paper Utusan Malaysia boleh digunakan untuk guru mengetahui perkembangan terkini berita-berita tempatan dan dunia.
Sebelum ini, tablet telah diserahkan kepada guru-guru di Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Putrajaya.
Turut hadir pada majlis tersebut, Puan Faridah Hashim, Pengurus Kanan Audit Dalaman dan Pematuhan Kumpulan Utusan Melayu Berhad, Cik Shim Ching Teo, Guru Besar SK St Anne, Ketua-Ketua Sektor, KPP BTPN, Pengetua dan Guru Besar WP Labuan.
Leave a Reply