SMK Labuan Ungguli Pertandingan Menembak PKBM (Darat) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2018
Kota Belud, Sabah – SMK Labuan mengungguli Pertandingan Menembak Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Darat) dalam kategori jatuhan piring dan kategori M16 jarak 100 meter, apabila dinobatkan sebagai johan keseluruhan.
Pertandingan yang dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan WP Labuan dan 51 Kompeni Komposit Kor Perkhidmatan DiRaja Markas Tentera Darat WP Labuan telah diadakan di Lapang Sasar, Kem Paradise Kota Belud, Sabah bermula 28 Mac sehingga 31 Mac 2018.
Penembak SMK Labuan Muhammad Raihan bin Badul telah dinobatkan sebagai penembak terbaik M16 jarak 100 meter. Manakala Mohd Izzat Iqmal bin Matzain dari SMK Rancha-Rancha di tempat kedua dan Sharil Azrin bin Samsudin juga dari SMK Labuan di tempat ketiga.
Nurul Nadiah binti Samihon muncul sebagai penembak terbaik M16 jarak 100 meter kategori perempuan, diikuti oleh NoorShakiela Jaunudin dan Siti Safariena Samsudin, kesemua perserta dari SMK Labuan.
Menurut Ketua Unit Pasukan Badan Beruniform, SPPK, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, En Mohd Aminuddin bin Abdul Malek , seramai 46 orang Kadet PKBM (Darat) SMK Labuan dan 10 orang Kadet PKBM (Darat) SMK Rancha-Rancha menyertai pertandingan yang berlangsung selama 3 hari ini.
Objektif pertandingan ialah memberi peluang kepada peserta menggunakan senjata sebenar Rifel M16 dengan menggunakan peluru hidup, meningkatkan ilmu pengetahuan, berdisiplin, berketrampilan dan sanggup berkorban untuk kemajuan agama, bangsa dan negara. Selain, meningkatkan perpaduan dan saling hormat menghormati dalam kalangan anggota yang berlainan kaum dan agama.
Dalam program sama, jemputan khas Pengarah Pendidikan JPWPL Encik Raisin Saidin, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Rancha-Rancha Encik Omar Baki Matusin berkesempatan menggunakan senjata Rifel M16 dan menembak jatuhan piring dalam satu demonstrasi khas yang dibimbing oleh jurulatih-jurulatih PKBM (Darat) yang diketuai oleh Mejar Rosli bin Daud, Pegawai memerintah 51 Kompeni Komposit KPD.
Guru-guru PKBM (Darat) yang terlibat ialah Leftenan Siti Aminah binti Ahmad Ramli, Leftenan Muda Ramlah binti Basiran, Leftenan Muda Mohd Suffian bin Ismail, Leftenan Muda Muhammad Sharafuddin bin Iliah, Seri Kandi binti Muali dari SMK Labuan dan Zaharah binti Mat Jali dari SMK Rancha-Rancha.
Sumber Berita : Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan