Sambutan Hari Guru 2018, Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan – Bertemakan Guru Pemacu Transformasi Pendidikan, sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2018 telah berlangsung dengan penuh ceria dan harmoni pada 26 April 2018 bertempat di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Majlis telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Hj. Bashir Bin Haji Alias, Ahli Dewan Negara.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi serta prestasi tinggi yang ditunjukkan oleh para guru bagi melahirkan modal insan dalam merealisasi transformasi negara dapat dicapai.

Sebagai arkitek sosial, guru mempunyai tanggungjawab besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu malah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan negara iaitu sebagai agen menyempurnakan akhlak.

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin menyeru guru-guru Wilayah Persekutuan Labuan memastikan roh guru sentiasa mendarah daging dalam setiap diri guru,  seterusnya mengangkat harga dan maruah diri murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan.

Justeru itu, guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas dari cara biasa kepada luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta world class thinking.

Puan Hajah Zaleha Hj Kurus telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2018 di atas sumbangan bakti penuh dedikasi yang telah dicurahkan kepada dunia pendidikan.

Majlis juga dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta, Datin Sri Hajah Nor Zamani binti Abdil Hamid, Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Tn. Hj. Mohd Yusof bin Samad, Pengetua SMK Labuan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Encik Ismail Bin Abdullah, Yang DiPertua Majlis Guru Besar Labuan, En. Jaafar bin Matusin dan  Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Datin Hajah Dayang Pungut binti Abdul Jalil, Ketua-Ketua Sektor, Para Pengetua dan Guru Besar serta seluruh warga pendidik di Labuan.

Anugerah Penampilan Terbaik – SK Bukit Kalam

SK Bukit Kalam telah dinobatkan sebagai Anugerah Penampilan Terbaik sepanjang Majlis Sambutan Hari Guru 2018 berlangsung. Majlis turut memberi penganugerahan kepada penerima Anugerah Anak Guru Cemerlang.

Dalam majlis tersebut, YB Senator Datuk Hj. Bashir juga berkesempatan melancarkan buku Pembelajaran Abad Ke 21 Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Datin Sri Hajah Nor Zamani menyampaikan Anugerah Anak Guru Cemerlang sambil diperhatikan oleh Encik Raisin Saidin