SMK Labuan Charity Fun Run and Ride 2018 dapat sambutan menggalakkan

Sebahagian peserta menunjukkan keseronokkan Charity Fun Run and Ride 2018 SMK Labuan

Labuan – Program SMK Labuan Charity Fun Run and Ride 2018 mendapat sambutan yang menggalakkan apabila disertai hampir 700 peserta dalam dan luar negara.

Charity Fun Run and Ride yang dianjurkan PIBG SMK Labuan itu diadakan sebagai salah satu inisiatif PIBG SMK Labuan untuk mengumpul dana tambahan yang diperlukan untuk membantu pihak sekolah membiayai programprogram akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebahagian keperluan asas seperti meja dan kerusi kelas.

Program yang diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, Tanjung Purun pada Ahad lalu itu disertai 620 peserta yang membabitkan 341 bagi acara Ride, manakala 284 peserta acara Fun Run.

Seramai 134 peserta dari Labuan menyertai acara Ride di samping 109 dari Brunei Darussalam, 87 dari Sabah dan 14 dari Sarawak.

Acara Fun Run pula disertai 22 pelari dari Sabah, 3 dari Brunei Darussalam dan 258 merupakan peserta tuan rumah, Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Yang DiPertua PIBG SMKL, Tuan Haji Md Yusof Haji Chuchu pada pukul 6.30 pagi.

Pengetua SMK Labuan merangkap Penasihat PIBG SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dari dalam dan luar negara yang menyertai acara yang julung kali diadakan itu.

Encik Ismail dan Tuan Hj Md Yusof bergambar kenangan bersama sebahagian peserta dari Negara Brunei Darul Salam

Katanya, kehadiran ramai peserta termasuk dari Brunei Darussalam itu bukan sahaja memeriahkan acara tersebut tetapi juga menjana ekonomi dan merancakkan lagi industri pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kehadiran peserta dari Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak turut membantu menceriakan acara SMK Labuan Fun Run and Ride 2018 yang julung kalinya dianjurkan PIBG SMK Labuan,” katanya.

Ini termasuk penyertaan 35 orang ahli Brunei Folding Bike Club (BFBC) dan 30 ahli Best Cycling Team Tutong dari Brunei Darussalam yang diketuai Haji Aminudin Haji Abd Karim.

Encik Ismail tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan Labuan Liberty Port Management (LLPM) Sdn Bhd, Dato’ Sri Mohd Alias Abd Rahman, Perbadanan Labuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam, Rela dan Beta Service Apartment serta JHK Events yang turut bekerjasama menjayakan program berkenaan.

Ucapan terima kasih juga beliau tujukan kepada Penyelaras Program, Encik Jaya Haji Masir, Ketua Marshall Ride, Encik Jamil Haji Kario, semua guru dan staf, AJK PIBG dan pelajar Tingkatan Enam SMK Labuan selaku AJK Pelaksana SMK Labuan Fun Run and Ride 2018.

“Sudah tentu ucapan terima kasih kami tujukan kepada orang perseorangan dan kumpulan, badan bukan kerajaan (NGO) dan alumni yang turut menyumbangkan kewangan dan tenaga. Kejayaan penganjuran program ini adalah disebabkan komitmen pelbagai pihak di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Kesungguhan para peserta dalam Charity Fun Run and Ride 2018 SMK Labuan

Sementara itu, murid SJKC Tsi Sin, Tenom, Melsheira Jumit, 11, muncul juara kategori Terbuka Wanita selepas mencatat 24 minit, 10.57 saat, manakala pasangan adik-beradik, Jessica dan Stella Suip yang berasal dari Kuala Penyu meraih tempat kedua dan ketiga.

Sementara atlet SMK Labuan, Mohd Alias Junaidi muncul juara kategori Terbuka Lelaki dengan catatan 18 minit 32.51 saat.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Benry dan Kamarul Iqhwan Asiran.

Juara, kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300, RM200 dan RM100 serta medal manakala hadiah saguhati tempat keempat hingga ke-10 menerima RM50.

Peserta juga pulang ceria selepas menerima hadiah bertuah termasuk barangan elektrik, peralatan sukan, hamper serta baucar penginapan dan makanan.

Encik Ismail yakin kerjasama, komitmen dan kesungguhan semua pihak itu akan menaikkan semangat warga guru dan AJK PIBG untuk terus meningkatkan kecemerlangan SMK Labuan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Turut hadir Puan Zalina Zunkepely (PK Pentadbiran) dan Encik Cheah Teong Aik (Penolong Kanan Kokurikulum) serta Encik Saminan Sabtu (Penolong Kanan Tingkatan 6)

Encik Ismail bersama sebahagian dari para pemenang Charity Fun Run and Ride 2018 SMK Labuan

 

 

image_pdfimage_print