Repsol Oil & Gas Malaysia Limited Bantu Murid Dari Golongan Komuniti Nelayan
8 Februari 2017 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Repsol Oil & Gas Malaysia Limited di atas usaha murni memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit kepada murid-murid sekolah dari golongan komuniti nelayan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan Labuan.
Bantuan ini merupakan insentif daripada Repsol Malaysia Limited bagi membantu komuniti di sekitar tempat operasi di luar pantai khususnya kaum nelayan. Demikian ucapan daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.
Majlis anugerah motivasi bagi murid-murid UPSR dan PT3 Tahun 2016 dari golongon komuniti nelayan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan ini telah disempurnakan oleh Encik Farid Jaafar, Pengurus Besar Kanan Jabatan Perhubungan dan Hal Ehwal Kerajaan dan Komuniti, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited.
Seramai 50 orang murid daripada 10 buah sekolah terlibat menerima bantuan tersebut iaitu SMK Lajau, SMK Pantai, SK Lubok Temiang, SK Patau-Patau, SKK SK Rancha-Rancha, SK Bebuloh, SK Layang-Layangan, SK Sungai Lada, SK Tanjung Aru dan SK Pantai. Sasaran penerima bantuan wang ini adalah kepada murid Tingkatan 3 dan murid Tahun 6 yang cemerlang dan berasal dari golongan komuniti nelayan pada tahun 2016.
Menurut En Farid, mereka yang terpilih merupakan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PT3, tetapi juga aktif dalam penglibatan kokurikulum di sekolah masing-masing.
Turut sama hadir pada majlis tersebut adalah Ketua-Ketua Sektor, Pengetua dan Guru Besar, Pegawai-Pegawai Repsol dan Pegawai-Pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.