Murid 11 tahun SK Tanjung Aru kutip pingat perak bagi ‘3rd Malaysia Open International Taekwondo Championship 2018

Adik Mohammad Mainiezam disambut oleh warga SK Tanjung Aru pada 13 Ogos 2018

13 Ogos 2018 / Labuan – Mohammad Mainiezam Bin Maswandie, murid 11 tahun yang bersekolah di SK Tanjung Aru telah mengharumkan nama Labuan dengan memenangi pingat perak dalam 3rd Malaysia Open International Taekwondo Championship 2018 pada 9 hingga 12 Ogos yang bertempat di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia.

Murid ini juga telah menyertai Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan Ke-32 dan Jemputan Pulau Pinang Ke-29 pada 4 hingga 6 Mei 2018 yang lalu bertempat di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Mohammad Mainiezam berjaya sehingga ke pusingan ketiga sahaja pada kejohanan ini, Namun perkara ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus cemerlang di peringkat antarabangsa pada Kejohanan ‘3rd Malaysia Open International Taekwondo Championship 2018’.

Hasil daripada sokongan dan didikan daripada ibu bapa, adik Mohammad Mainiezam akhirnya berjaya mendapatkan tempat pada Kejohanan ini.  Disiplin serta azam yang tinggi daripada diri murid ini sendiri turut menyumbang kepada kejayaannya pada kali ini.

Lebih daripada 700 peserta yang terdiri daripada 42 pasukan dalam negara Malaysia dan luar negara seperti Indonesia, SIngapura, Kemboja, Brunei, Nepal, India, Kanada, Nigeria, Jepun, China dan Uzbezkistan mengikuti pertandingan ini.

Kesemua peserta yang terlibat memberikan saingan yang sengit dalam setiap kategori yang dipertandingkan. Namun begitu, hal ini tidak meruntuhkan semangat murid 11 tahun ini dan setelah bertanding selama 3 hari, murid ini membuktikan bahawa dirinya dapat mengatasi semua cabaran dalam kategori ‘Kyorugi’ lelaki 11-12 tahun (Junior Middle Weight) dan akhirnya berjaya merangkul pingat perak dengan menewaskan peserta dari negara Indonesia.

Pingat emas pada kejohanan kali ini dimenangi oleh peserta dari negara Uzbezkistan.

Pertandingan ini dirasmikan pada 11 Ogos 2018 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, Yang Berhormat Arul Kumar Jambunathan.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah juga  diberikan kepada murid ini daripada seluruh warga SK Tanjung Aru sempena kemenangannya pada tahun ini.

image_pdfimage_print