Program Pembangunan Majalah Sekolah Digital 2018 (E-Majalah) Peringkat W.P Labuan
Labuan, 16 Okt – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri telah mengadakan Program Pembangunan Majalah Sekolah Digital 2018 (eMajalah 2018) peringkat WP Labuan, hari ini.
Program ini merupakan inisiatif SKMM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Bahagian Teknologi Pendidikan di bawah inisiatif Komuniti Pintar dengan objektif untuk memberi pendedahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada pelajar dan guru dan untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi melalui penerbitan digital.
Seramai 54 orang peserta telah menyertai program ini yang terdiri dari kalangan guru dan murid-murid sekolah di Labuan.
Selain meningkatkan tahap kemahiran dan pembudayaan ICT di kalangan pelajar dan guru, program ini juga dapat mengurangkan kos percetakan untuk majalah tahunan sekolah bagi menyokong inisiatif hijau dengan meminimumkan penggunaan kertas.
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Encik Samsudin bin Yalla, Ketua Sektor Pengurusan Maklumat, Jabatan Pendidikan W.P Labuan.
Dalam ucapannya, beliau berharap agar peserta bengkel dapat meneruskan usaha bagi menghasilkan E-Majalah sekolah yang menarik dan dapat memanfaatkan ilmu yang telah diperolehi semasa menghadiri bengkel pada hari ini.
Semoga semua murid yang hadir hari ini dapat menimba ilmu dalam bidang ICT, mencipta inovasi dan kreativiti, seterusnya menjadikan ICT sebagai bidang kerjaya khususnya sebagai Pembangun Sistem Aplikasi dan Web suatu hari nanti.
Manakala, guru pula memainkan peranan penting sebagai pembimbing dan pendorong kepada murid yang berminat dalam bidang ICT di sekolah.
Turut hadir, Puan Suhaila Jaafar, Timbalan Pengarah SKMM Pejabat Wilayah Sabah dan Encik Sau’din Sulong, General Manager Konsultan Universiti Malaysia Pahang.
Dalam bengkel tersebut juga telah diadakan mini pertandingan E-Majalah yang terbaik dihasilkan oleh sekolah-sekolah.
Penilaian telah dibuat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Johan disandang oleh peserta dari Sk Membedai, naib johan SMK Lajau dan tempat ketiga SMK Taman Perumahan Bedaun.
Syabas dan tahniah diucapkan !