SKK St Anne Anjur Karnival SMathen 2018, Beri Impak Besar Kepada Peserta

LABUAN: Karnival Sains, Matematik dan English (SMathen) Peringkat Kebangsaan 2018 yang diadakan di sini memberikan impak yang sangat besar kepada peserta.

“Ia memberikan para peserta untuk mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari, lebih dinamik, berkebolehan dan memiliki perspektif yang lebih baik dalam kehidupan,” kata Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin pada Majlis penutupan karnival itu di Dewan Serbaguna Blessed Sacrament, di sini pada Sabtu.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia, Encik Shamsuddin Mustapha.

Encik Raisin Saidin berkata peserta juga dapat mengembangkan lagi minat dan potensi diri mereka melalui Karnival SMathen itu.

“Kalau sebelum ini anak-anak belum pernah menggunakan Robot VEX, GMATH dan menyelesaikan permainan Bahasa Inggeris menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi maka di sinilah kemampuan diri dikembangkan lagi,” katanya.

Tambahnya, ia akan seterusnya menjurus ke arah kemenjadian diri mereka dan mampu bersaing dalam era globalisasi yang semakin kompetitif.

Selain itu, karnival itu dapat memperkenalkan Labuan khususnya dalam sektor pelancongan kepada para peserta yang datang dari luar Labuan mengenai tempattempat menarik yang ada di sini untuk dilawati.

Encik Raisin Saidin juga bangga kerana karnival itu adalah satusatunya dianjurkan di Labuan yang mengadakan program anak angkat untuk peserta dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang mampu merapatkan tali silaturahim serta bertukar pengetahuan tentang kebudayaan masyarakat di sini.

Karnival SMathen kali ini memasuki edisi ketiga yang mana, ia pertama kali diadakan di Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Sekolah Kebangsaan (SK) St Anne Labuan.

Antara pengisian karnival selama tiga itu adalah ‘Bengkel Genius Mathematics’, Bengkel ‘VEX Robotic Ringmaster’, pertandingan matematik dan lain-lain lagi.

Turut hadir, Pengetua SKK SK St Anne Shim Ching Teo, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Hazan Dahari.