Perhimpunan Bulanan JPWPL, Januari 2019 : Pemansuhan Peperiksaan Tahap 1

Labuan, 8 Januari – Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan kaedah pentaksiran yang bersifat autentik dan holistik, serta lebih berfokus kepada perkembangan dan pembelajaran murid dan bukan lagi berorientasikan peperiksaan.

Pelaksanaan PBD juga dapat mewujudkan budaya pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna.

Pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun di Tahap 1 (Murid Tahun 1 hingga Tahun 3) adalah untuk membolehkan guru memberikan lebih penumpuan terhadap PdP yang dapat membina karakter dan sahsiah murid serta amalan nilai rutin harian.

Pelibatan ibu bapa juga penting dalam usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan bebas tekanan kepada murid di peringkat awal usia persekolahan.

PBD merupakan sebahagian daripada PdP di dalam bilik darjah dan dijalankan secara berterusan.

PBD secara sumatif dalam bentuk peperiksaan pertengahan dan akhir tahun diganti dengan aktiviti pentaksiran berupa projek mudah, kuiz, permainan, main peranan dan bercerita.

Hasil kerja murid dinilai sebagai bahan pentaksiran yang dijalankan dalam PdP.

Pelaksanaan PBD bertujuan untuk mendapatkan gambaran tentang perkembangan dan kemajuan pembelajaran, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid supaya tindakan susulan yang sesuai sama ada untuk meningkatkan atau memperbaiki pembelajaran murid dapat diambil secara serta-merta.

Di samping itu, PBD dapat memberi maklum balas tentang keberkesanan pengajaran guru.

Demikian penerangan Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan semasa berucap di perhimpunan bulanan bagi bulan Januari 2019 di BTPN Labuan hari ini, 8 Januari 2019.

Guru-guru mestilah bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pentaksiran di bilik darjah bagi mengembangkan potensi dan kebolehan murid dalam pembelajaran. Encik Raisin Saidin.

Majlis perhimpunan diserikan dengan bacaan lafaz ikrar perkhidmatan awam, ikrar integriti perkhidmatan awam, ikrar Akta Rahsia Rasmi 1972, penyampaian sijil penghargaan dan sambutan hari lahir.

Jasamu dikenang kepada Puan Norismah Ab Moin, mantan Ketua Sektor Akademik dan Madam Chin Tsuey Wei, mantan SISC+ Bahasa Inggeris yang telah bersara juga turut diadakan dengan tayangan video dan penyampaian cenderahati persaraan.

Selamat Bersara Puan Norismah dan Madam Chin ! Seluruh warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mendoakan agar Puan Norismah dan Madam Chin  sentiasa diberi perlindungan, kesihatan berpanjangan dan dimurahkan rezeki serta berbahagia bersama keluarga tercinta.

Sambutan hari lahir bagi bulan Januari kepada warga Jabatan Pendidikan WP Labuan