Kejohanan Majlis Sukan Sekolah WP Labuan Melabuhkan Tirainya Dengan Penuh Dramatik

Labuan, 24 Mac : Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan melabuhkan tirainya Jumaat lepas dengan penuh dramatik.

Kedudukan untuk menentukan juara keseluruhan bagi kategori sekolah menengah cukup sengit, dengan acara terakhir kejohanan menjadi penentu kemenangan.

Akhirnya dengan catatan rekod baharu kejohanan 3 minit 37.65 saat oleh atlet 4 x 400 Lelaki 18 Tahun, SMK Pantai sekali lagi muncul sebagai juara, disambut dengan kegembiraan dan tangisan para atlet, mahupun jurulatih.

SMK Pantai merangkul 17 pingat emas, 8 perak dan 14 gangsa, hanya dibezakan 1 pingat emas dengan SMK Mutiara yang meraih 16 pingat emas, 10 perak dan 7 gangsa.

Persaingan yang cukup sengit ini mengulangi skrip catatan pungutan pingat emas kejohanan tahun lalu, dengan SMK Pantai juga merangkul 17 emas dan SMK Mutiara meraih 16 emas. Klik sini untuk berita MSSWPL 2018

SMK Labuan kekal di tempat ketiga dengan 11 pingat emas, 9 perak dan 10 gangsa tetapi memperbaiki pungutan emas berbanding 8 emas yang dicipta pada tahun 2018.

Saingan sengit bagi kategori Sekolah Rendah juga tidak kurang hebatnya.

Dengan pungutan pingat yang sama iaitu 3 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa, akhirnya SKK SK Rancha-Rancha dan SK Lubok Temiang diistihar sebagai johan bersama, satu lagi tinta sejarah dalam kejohanan MSS WPL kali ini.

Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan 2019. Sesungguhnya “Anda Semua Adalah Juara”.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan,
Dato’ Sri Haji Amir Bin Hussien.

Dipetik dari Buletin MSSWPL 2019 : Sekalung Tahniah kepada Petugas Buletin SK Bukit Kalam
Klik Sini untuk Buletin Penuh