Labuan, 17 April : Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan April telah diadakan kelmarin, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin dalam ucapan amanatnya berkata Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) merupakan suatu penilaian berdasarkan konsep Tugas dan Tempat Bertugas berdasarkan standard prestasi yang telah ditetapkan selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 –2025.
Beliau berkata proses penilaian guru bermula dengan keprihatinan dan kesungguhan. Penilaian perlu dinilai dengan tepat dan professional bagi mengenalpasti kompetensi dan potensi pegawai yang dinilai agar membolehkan pembangunan profesionalisme berterusan dilaksanakan.
“Menilai kompetensi dan potensi guru secara individu, bukan bertujuan untuk menghukum, perlu ada unsur coaching mentoring, termasuk mewujudkan interaksi dan bersemuka semasa penilaian dilaksanakan”. Encik Raisin Saidin.
Terdahulu, majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2019 telah dilancarkan oleh Encik Raisin Saidin. Taklimat dekad membaca telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah BTPN Labuan, Encik Ag. Marten bin Datuk Hj Abdul Rahman .
Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menjadikan tempoh masa 10 tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan dan ia sebahagian usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sijil anugerah kepada sekolah, sijil kenaikan pangkat, sijil persaraan, staff of the month, sambutan hari lahir dan sijil anugerah khas pengarah.
Anugerah Khas Pengarah bagi bulan April telah diberikan kepada Encik Samsul Mandisin, Ketua Unit Pusat Kokurikulum dan Encik Awang Zain bin Awang Anak, Ketua Unit Sukan di atas kecemerlangan di atas kecemerlangan Penganjuran Kejohanan Golf MSSM 2019 Peringkat Kebangsaan.
Cikgu Angeline Leong dari Sekolah Kebangsaan Kerupang telah dinobatkan sebagai Adiwira Guru PAK21 Labuan bagi bulan April 2019.