Farah Ain Nabila binti Roslizar dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Tingkatan Enam, manakala Audrey Agang Teo Li Xin dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Perdana dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah (MAKES) SMK Labuan pada 24 April 2019 yang lepas.
Anugerah Tokoh SUMUR merupakan anugerah utama yang diberikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang secara seimbang dalam akademik dan sahsiah.
Farah Ain Nabila merupakan pelajar cemerlang STPM 2018 yang telah mencipta sejarah sebagai pelajar pertama SMK Labuan yang mendapat PNGK 4.00. Farah Ain juga seorang pelajar yang cemerlang dalam sahsiah dan disiplin.
Audrey merupakan pelajar terbaik WP Labuan dalam SPM 2018 dengan mendapat 9A+ dan 1A. Baru-baru ini Audrey juga mendapat Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah.
MAKES SMK Labuan merupakan acara tahunan yang memberi pengiktirafan atas pencapaian dalam bidang Hal Ehwal Murid dan Kurikulum (Akademik).
Antara anugerah-anugerah yang diberikan ialah Pengawas Contoh, Pengawas Pusat Sumber Contoh, Pembimbing Rakan Sebaya Contoh, Murid Yang Mendapat Gred A dalam Ujian SEGAK dan PAJSK, Pelajar Cemerlang PT3, Pelajar Cemerlang Peperiksaan Antarabangsa Bahasa Perancis (DELF), Pelajar Cemerlang SPM, Pelajar Cemerlang STPM, Pelajar Terbaik MUET, Pelajar Terbaik Keseluruhan Tingkatan, Pelajar Terbaik PT3, Pelajar Terbaik SPM, Pelajar Terbaik STPM, Pencapaian Panitia Dalam PT3, Pencapaian Panitia Dalam SPM, Pencapaian Panitia Dalam STPM, serta Anugerah Khas Tokoh SUMUR Perdana dan Tingkatan Enam.
MAKES SMK Labuan disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan Encik Ismail bin Abdullah yang mewakili Pengarah Pendidikan WP Labuan Encik Raisin bin Saidin. Dalam ucapan yang dibacakan oleh Encik Ismail, antara intipati ucapan Encik Raisin Saidin menekankan tentang :
“Prinsip akauntabiliti dan responsibiti amat penting untuk diterapkan di dalam diri setiap penjawat awam khasnya warga pendidik. Kepada guru-guru, kita sama-sama menghayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita dengan sentiasa ingatkan diri kita bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu tugas yang amat mulia. Menjadi pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion, tetapi suatu perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang seimbang. Saya percaya jika saudara dan saudari semua mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai matlamat pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan pekerti yang mulia.”
“Penglibatan semua pihak dalam pelbagai aktiviti di sekolah juga mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan kelas pertama, bersesuaian dengan konsep sekolah milik masyarakat. Sebagai inti patinya, dalam usaha kita untuk menjayakan agenda pendidikan negara, peranan ibu bapa tidak kurang pentingnya. Malah, ibu bapa adalah insan yang paling penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga ingin mengajak ibu bapa supaya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibu bapa boleh memberikan sumbangan secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah.”
“ Dalam hubungan ini, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibu bapa untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan membantu anak-anak untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidika. Dalam kesempatan ini juga, saya menyeru kepada rakyat negeri ini agar mengamalkan budaya memasyarakatkan sekolah kerana sekolah adalah tempat anak-anak menerima pendidikan. Ibu bapa yang mempunyai sifat prihatin terhadap pendidikan anak-anak akan sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan pembelajaran anak-anak dan sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dengan memberikan buah fikiran dan apa juga sumbangan yang boleh meningkatkan prestasi sekolah. Pada masa yang sama, pihak sekolah juga haruslah mengamalkan pendekatan mesra masyarakat supaya segala aktiviti sekolah mendapat sokongan dan bantuan daripada masyarakat untuk sama-sama menjayakannya.”
Turut hadir menjayakan MAKES SMK Labuan ialah Pn Zalina Zunkepely (Penolong Kanan Pentadbiran), Ustazah Marziawati Mardan (PK HEM), En Saminan Sabtu (PK Pusat Tingkatan Enam), En Cheah Teong Aik (PK Kokurikulum), En Kitli Beka (PK Petang), wakil-wakil Pengetua sekolah-sekolah WP Labuan, serta ibu bapa penerima anugerah.
Berita Oleh : SMK Labuan