Program Smart Bantu Atasi Masalah Kehadiran Murid Ke Sekolah
Labuan– Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan Program Smart Siri 1/ 2019 kelmarin bertempat di Dewan Permata sekolah tersebut.
Program
tersebut dihadiri seramai 58 orang murid tahun satu hingga enam. Pemilihan
peserta program ini adalah berdasarkan kehadiran murid ke sekolah, pencapaian
akademik dan juga untuk pembinaan sahsiah terpuji murid.
Program Smart di bawah Unit Disiplin dan Unit Bimbingan dan Kaunseling bertujuan untuk membina dan memantapkan sahsiah terpuji murid serta mengatasi masalah murid berisiko cicir. Di samping untuk mendedahkan murid tentang peluang meningkatkan potensi diri dalam pelbagai kemahiran.
Antara pengisian program ini ialah sesi motivasi, ceramah daripada pihak PDRM, kaunseling individu dan kelompok serta latihan dalam kumpulan (LDK).
Guru Besar
SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod berkata pihak sekolah mengambil
berat terhadap pembinaan jati diri murid
yang terpuji. Justeru, kerjasama daripada semua pihak khususnya ibu bapa amat
diperlukan untuk membentuk peribadi yang mulia
anak-anak ini seawal mereka di tahun satu.
“Kita berharap melalui Program Smart ini, anak-anak akan mencintai sekolah. Rajin hadir ke sekolah, sentiasa menunjukkan amalan terpuji seperti membantu rakan-rakan, menjaga keceriaan dan kebersihan persekitaran sekolah dan menjadi ‘mata-mata’ kepada guru bagi mengekang salah laku disiplin murid lain”.
Katanya lagi, murid-murid di sekolah rendah berada di peringkat pertumbuhan di mana mereka sepatutnya suka hadir ke sekolah untuk memperolehi pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Guru-guru memberikan lebih perhatian kepada penerapan nilai kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati dalam memantapkan pembangunan sahsiah dan karakter murid.” Katanya semasa ditemui dalam majlis berkenaan.
Dalam majlis tersebut ceramah berkaitan Keciciran di kalangan murid-murid dan Salah laku jenayah remaja telah disampaikan oleh Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin Bin Abdullah daripada Balai Polis Kampung Bebuloh.
Semoga SKSB berjaya melahirkan murid yang bersahsiah tinggi, bersikap positif sentiasa bermotivasi dan mempunyai keazaman untuk cemerlang dalam semua bidang bersesuaian dengan slogan SKSB Mekar Terbilang.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun