Majlis Sarana Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa SMK Labuan 2019
Labuan – SMK Labuan telah mengadakan Majlis Sarana Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa pada 22 Jun lalu, bertempat di Dewan Mutiara SMK Labuan.
Semasa memberi taklimat kepada ibu bapa pelajar Tingkatan 5, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah dalam ucapannya, SMK Labuan menyasarkan 100 peratus lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sasaran Gred Purata Sekolah (GPS), 4.55.
Untuk rekod, calon SPM SMK Labuan tahun ini ialah seramai 250 orang, SMK Pantai IBWS 165, SMK Mutiara 137, SMK Taman Perumahan Bedaun 82, SM St Anthony 72, SMK Lajau 69, SMK Rancha-Rancha 65, SM St Anne 64 dan SM Sains Labuan seramai 61 orang.
Bagi merealisasikan kejayaan ini, Encik Ismail berkata pelbagai program dirancang dan sedang dilaksanakan oleh pihak sekolah antaranya ialah “JOM LULUS SPM KITA” , “1A1M : MINIMA 1A KITA” dan “JOM 6A MARI KITA NAIK PENTAS”.
Strategi yang dirancang dalam program itu seperti menyediakan jadual anjal kelas, bimbingan bersama guru, bengkel teknik menjawab, kelas bimbingan mata pelajaran elektif dan modul latih tubi.
Encik Ismail juga menekankan betapa pentingnya peranan ibu bapa seperti sentiasa memastikan kehadiran anak ke sekolah, memastikan keperluan persekolahan, sokongan psikologi dan motivasi kepada anak serta mendoakan anak-anak setiap hari.
Selepas taklimat pengetua, ibu bapa berinteraksi dengan guru kelas tentang prestasi Peperiksaan Pertengahan Tahun, sasaran peningkatan prestasi dan perkara-perkara lain yang berkaitan.
Turut hadir, Yang Dipertua PIBG SMK Labuan, Tuan Hj Md Yusof Hj Chuchu, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Zalina Zunkepely, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Marziawati Mardan dan Penolong Kanan Petang Encik Kitli Beka.
Berita Oleh : SMK Labuan