Beraneka Jenis Kek Meriahkan Suasana Sambutan Hari Jadi Warga SK Sungai Bedaun
Labuan – Bagi merealisasikan Program Amalan Guru Penyayang, Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Lahir warga sekolah yang lahir pada bulan Januari hingga Jun pada 28 Jun lalu di Dewan Permata sekolah tersebut.
Seramai 319 orang murid dari kelas Prasekolah, Tahun 1 hingga Tahun 6 telah diraikan. Tidak dilupakan juga seramai 20 orang guru dan seorang staf sokongan yang lahir dalam tempoh bulan tersebut diraikan bersama.
Majlis ini telah dikelolakan oleh Jawatankuasa Program Guru Penyayang di bawah Unit Hal Ehwal Murid. Tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk menghargai serta menjaga kebajikan setiap warga sekolah seterusnya memupuk semangat kasih sayang dalam kalangan warga sekolah.
Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod berkata, Sambutan Hari Lahir merupakan salah satu program dalam takwim sekolah bagi meraikan hari-hari penting bagi setiap murid dan staf seperti hari kelahiran mereka.
“Program ini dapat mendorong murid-murid bergaul mesra di antara satu sama lain dan memupuk perpaduan di kalangan mereka yang terdiri daripada berbilang kaum. Murid-murid akan merasakan diri mereka lebih dihargai sekaligus merasakan diri mereka adalah sebahagian aset sekolah”. Katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
“Walaupun majlis tersebut dibuat secara ringkas, tetapi kesannya amat bermakna kepada murid-murid dan guru-guru terutama kepada mereka yang diraikan. Perasaan disayangi dan dihargai serta rasa kesyukuran dapat dipupuk melalui majlis ini. Tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan murid-murid ini tidak pernah diraikan hari lahir mereka. Oleh itu, pengalaman ini amat bermakna buat mereka”, ujarnya lagi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Puan Unos Mastura Tieh, Penolong Pengarah Unit Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Dipertua PIBG SKSB dan barisan pentadbir serta kehadiran para ibu bapa murid yang memberi kegembiraan kepada murid-murid.
Dalam ucapannya, Puan Unos Mastura berkata program amalan penyayang ini perlu dilaksanakan di semua sekolah seluruh Negara. Antara aktivitinya ialah mengalu-alukan kehadiran murid, memberi penghargaan kepada murid dan program mentor mentee. Ia bertujuan untuk menarik minat murid-murid hadir ke sekolah dengan perasaan ceria.
“Amalan penyayang yang diterapkan di
sekolah bukan sahaja menyambut kedatangan murid di pintu pagar dan meraikan
sambutan hari jadi tetapi dalam skop yang lebih luas ianya perlu dibudayakan
dalam amalan seharian warga sekolah”. Katanya ketika berucap dalam majlis
berkenaan.
Majlis ini diserikan dengan upacara memotong kek dengan diiringi persembahan kibod dan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi secara beramai-ramai. Murid-murid dan guru-guru yang diraikan turut menerima cenderamata daripada Kelab Guru dan pihak sekolah yang disampaikan oleh Puan Unos Masturah dan Puan Dg. Sarifah.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar
beramai-ramai dan acara jamuan yang di adakan di setiap kelas. Ibubapa turut
membantu guru-guru mengagihkan kek kepada semua murid.
Pihak sekolah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa atas kerjasama dan komitmen yang diberikan bagi memastikan majlis dapat berjalan lancar seperti yang telah dirancang. Semoga sambutan ini akan dapat terus dikekalkan pada masa akan datang.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun