Charity Run dan Fun Walk SMK Mutiara Promosi Cara Hidup Sihat Sambil Menyumbang

Labuan – SMK MUTIARA dengan kerjasama PIBG sekolah telah menganjurkan acara Charity Run dan Fun Walk pada 20 Julai 2019 sebagai suatu wadah promosi gaya hidup sihat dan pada masa yang sama menyumbang kepada tabung PIBG sekolah.

Acara yang bermula mulai jam 6 pagi telah berjaya menghimpunkan 338 peserta pelbagai peringkat umur dari dalam dan luar Labuan. Ada peserta yang datang dari Inanam, Tenom dan Keningau semata-mata untuk menyertai acara yg julung-julung kali dianjurkan oleh PIBG SMK MUTIARA ini.

Pelepasan peserta acara Charity Run telah dilakukan tepat jam 6.30 pagi oleh YB Datuk Rozman Isli, Ahli Parlimen Labuan. Manakala pelepasan acara Fun Walk telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W. P. Labuan, Encik Raisin Saidin 5 minit kemudian.

Sebelum pelepasan, semua peserta telah mengikuti sesi senam robik yang turut disertai oleh YB Datuk Rozman Isli dan Encik Raisin Saidin. Ketika ditemui, YB Datuk Rozman melahirkan rasa bangga atas penganjuran pelbagai aktiviti di pulau ini oleh pelbagai agensi. Pihaknya sentiasa akan memberi sokongan kepada program-program sebegini kerana ia memberi manfaat terutamanya dalam menjalani kehidupan sihat.

Acara Fun Walk disertai oleh pelbagai peringkat umur

Pengarah Pendidikan, En Raisin Saidin mengucapkan tahniah kepada penganjuran acara ini yang berjaya menarik peserta dari dalam dan luar Labuan. Hal ini  menunjukkan acara ini bukan sahaja mampu meningkatkan kutipan tabung PIBG malah memberi impak positif kepada sektor pelancongan di pulau mutiara laut cina selatan ini.

Dalam acara Charity Run sejauh 9km kategori terbuka lelaki telah diungguli oleh pelari dari Inanam, Sabah iaitu Aizan Safizan bin Ahmad dengan catatan masa 38 minit 51 saat. Aizan membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan sijil kemenangan. Manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Rayner Jumid dan Benry Betty.

Dalam kategori terbuka wanita pula, johan disandang oleh peserta remaja dari Tenom,  adik Melshira Jumid. Adik Melshiera berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan sijil kemenangan dengan catatan masa 49 minit dan 35 saat mengatasi pelari tempat kedua dan ketiga iaitu Stella Suib dan Jessica Suib.

Acara kali ini turut dimeriahkan dengan 54 cabutan bertuah. Hadiah-hadiah kemenangan telah disampaikan oleh YDP PIBG SMKM, Puan Liza anak Didi dan Pengetua SMK MUTIARA, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Ketika mengulas kejayaan penganjuran kali pertama ini, Puan Liza mengucapkan terima kasih kepada AJK Pelaksana yang berjaya menarik penyertaan oleh pelbagai peringkat umur dari dalam dan luar Labuan. Acara ini harus dilihat sebagai menifestasi kerjasama erat dalam kalangan guru, ibubapa dan masyarakat dalam menjana kecemerlangan murid dalam pelbagai bidang. PIBG SMK Mutiara juga akan sentiasa berusaha dalam meningkatkan keupayaan kewangan bagi membantu sekolah menjayakan aktiviti-aktiviti pendidikan.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Penyampaian Cenderahati kepada YB Datuk Rozman oleh YDP PIBG, Puan Liza Didi
Adik Melsheira mengungguli kategori wanita terbuka 9 km