Program Pengantarabangsaan NPO SAM Jepun dan Lawatan kerja SPS Negeri Sembilan ke SK Sungai Bedaun
Labuan, 29 Julai – Seramai empat pegawai daripada Non- Profit Organization (NPO) Save the Asian Monument (SAM) Jepun dan 23 pegawai daripada Sektor Pengurusan Sekolah (SPS), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) telah mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) Jumaat lalu.
Lawatan NPO, SAM diketuai oleh Mr Takahashi Tony Tatsuya dan Mrs. Iyama Tomomi. Turut hadir Mr Kojima Takuya, jurulatih bola sepak dan Mr Daichi Baba.
Manakala kunjungan rombongan daripada JPNS diketuai oleh Haji Misri bin Mustama, Ketua Sektor SPS, JPNS.
Ketibaan rombongan tersebut disambut oleh murid-murid yang memakai pakaian tradisional masyarakat tempatan iaitu kaum Kedayan, kaum Iban, kaum Kadazan, kaum Dusun serta lengkap berpakaian kebangsaan Malaysia iaitu baju melayu dan baju kurung.
Turut dipersembahkan muzik tradisional kulintangan yang dimainkan oleh murid-murid tahun tiga dan enam.
Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid , Puan Kamariah binti Salim yang merupakan ketua bahagian sambut tamu, pemilihan aktiviti ini merupakan usaha memantapkan program silang budaya bagi mencorak pemikiran generasi masa depan.
Rombongan tersebut dibawa meninjau Gallery Walk (Project Based Learning – STEM) di Dewan Mutiara. Sebanyak enam stesen projek murid tahun lima dipamerkan. Antaranya ialah “Build a Volcano” (Science), “Parachute Rocket” (Engineering), “Propeller Car” (Engineering), “Augmented Reality” ( Technology), “Build a Catapult” ( Engineering ) dan “Bridge Building Challenge”( Engineering).
“ Pada hari ini kita dapat melihat hasil projek anak-anak SK Sungai Bedaun yang berjaya menyelesaikan tugasan yang diberi dan menghasilkan projek bagi mengatasi masalah tersebut,” jelas Pn.Rina Farrina, Penolong Kanan Pentadbiran sebagai penyelaras projek.
Justeru, melalui Pendidikan STEM pihak sekolah
amnya dengan kerjasama ibu bapa, komuniti melaksanakan pelbagai program sebagai
persiapan melahirkan guna tenaga yang mampu memenuhi keperluan industry sesuai
dengan agenda transformasi Pendidikan abad ke-21.
Ujarnya lagi, pendidikan STEM juga menekankan konsep berpandukan komponen 6C dalam pdp iaitu communication, creative thinking, crictical thinking, citizenship, character dan collaboration seperti yang terkandung di dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta menekankan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
Mereka turut melihat Kelas Simulasi Bahasa Arab tahun tiga yang dikendalikan oleh Ustazah Anfal Binti Amir dan Ustazah Suadah binti Abdul Wahab yang merupakan PLC yang berkonsepkan pengajaran berpasangan.
PLC ini merupakan salah satu cara untuk membantu guru yang bukan opsyen untuk memantapkan pdpc dalam mata pelajaran yang diajar.
Mereka juga dibawa melawat Galeri Mutiara, melihat sendiri pemeriksaan kesihatan gigi, melihat kerja-kerja menaiktaraf musolla Al-Kauthar dan melawat tiga buah kelas pra sekolah.
Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Mohd Aizam bin Abdul Rahim turut menyatakan kesyukuran kerana mendapat bimbingan kejurulatihan bola sepak daripada En.Kojima Tokuya yang merupakan Jurulatih Bola Sepak dan perkongsian ilmu daripada Mrs.Iyama Tomomi bersama guru-guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Mrs. Iyama Tomomi, pengarah NPO SAM turut mengadakan sesi perkongsian pintar dengan guru-guru. Beliau menyampaikan taklimat ringkas bertajuk “The Role Of Yogo Teachers and Functions of the Health Room”.
Siri lawatan pada pagi ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua-ketua sektor dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).
Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod mengalu-alukan kehadiran ahli rombongan daripada NPO SAM dan pegawai-pegawai SPS, JPNS dan menyampaikan ucapan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang memberi peluang dan kepercayaan SK.Sungai Bedaun untuk terlibat sama sempena Minggu Pengantarabangsaan Labuan melalui Pendidikan. Beliau berharap semoga dengan program pengantarabangsaan dan penandaarasan ini dapat membina hubungan rapat di antara sekolah dengan NPO SAM Japan dan JPNS melalui ‘Smart Partnership’ berkaitan dengan perkongsian ilmu dan kepakaran.
Sementara itu, Tuan Haji Misri bin Mustama, Ketua Sektor SPS, JPNS mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah di atas sambutan dan layanan yang sungguh mesra kepada ahli rombongan.
“Kami banyak belajar melalui lawatan ini. Semoga ianya dapat mewujudkan satu sistem perkongsian maklumat bersama di antara JPNS yang melaksanakan penanda aras dengan SK Sungai Bedaun iaitu sekolah rujukannya” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun