6 Ogos 2019 / Labuan – Mohammad Mainiezam Bin Maswandie, murid 12 tahun yang bersekolah di SK Tanjung Aru telah mengharumkan nama Labuan sekali lagi tahun ini dengan memenangi pingat emas dalam 4th Malaysia Open International Taekwondo Championship 2019 pada 2 hingga 4 Ogos yang bertempat di Stadium Juara, Mont Kiara, Kuala Lumpur, Malaysia.
Murid ini juga telah menyertai pertandingan ini selama tiga tahun berturut-turut dan sentiasa mencapai kejayaan yang cemerlang. Murid ini pernah mendapat tempat kedua bagi kategori yang sama pada tahun lalu dan kini adik Mohd Mainiezam membuktikan bahawa dirinya boleh menjadi lebih baik daripada tahun sebelum ini. Hasil daripada sokongan dan didikan daripada ibu bapa, adik Mohammad Mainiezam akhirnya berjaya mendapat juara pada Kejohanan ini. Disiplin serta azam yang tinggi daripada diri murid ini sendiri turut menyumbang kepada kejayaannya pada kali ini.
Negara-negara luar yang terlibat dalam pertandingan ini termasuklah Indonesia, Singapura, Kemboja, Nepal, India, Brazil dan China. Kesemua peserta yang terlibat memberikan saingan yang sengit dalam setiap kategori yang dipertandingkan. Namun begitu, hal ini tidak meruntuhkan semangat murid 12 tahun ini dan setelah bertanding selama 3 hari, murid ini membuktikan bahawa dirinya dapat mengatasi semua cabaran dalam kategori ‘Kyorugi’ lelaki 10-12 tahun (Heavy Weight) dan akhirnya berjaya merangkul pingat emas dengan menewaskan lawan daripada Negeri Sembilan.
Ucapan setinggi-tinggi tahniah juga diberikan kepada murid ini daripada seluruh warga SK Tanjung Aru sempena kemenangannya pada tahun ini.