SMK Labuan Beri Saingan Sengit, Karnival Kokurikulum Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sabah
Labuan 8 Ogos – SMK Labuan telah memberikan saingan yang sengit dalam Karnival Kokurikulum Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sabah yang telah berlangsung di SMK Pengiran Omar (SMKPO), Sipitang Sabah pada 4 hingga 5 Ogos 2019.
Karnival yang dikelolakan oleh Pusat Tingkatan Enam SMK Pengiran Omar Sipitang ini telah dirasmikan oleh Pg. Mohd Yacob bin Pg Hj Omar, Pemimpin Pembangunan Masyarakat, wakil rasmi Datuk Dr Yusof bin Hj Yacob, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah.
SMK Labuan telah menyertai 7 acara iaitu Petanque, Bola Jaring, Futsal Lelaki, Futsal Perempuan, Badminton, Bola Tampar dan Catan (Seni Visual) yang diwakili oleh 40 orang pelajar, diiringi oleh 12 orang guru.
Tujuh sekolah telah menyertai karnival ini yang terdiri daripada SMK Pengiran Omar Sipitang, SMK Merapok Lawas, SMK Beaufort, SMK Keningau 2, SMK Majakir, SMK Kinarut dan SMK Labuan.
Pasukan Catan Seni Visual SMK Labuan paling menyerlah dengan menyapu bersih tiga tempat kedudukan teratas. Irham Zulhilmi Mohd Johan muncul sebagai johan, Nassuha Erdina Dollah meraih tempat kedua dan Annisha Khairen Ishak tempat ketiga.
Pasukan Petanque SMK Labuan juga tidak kurang hebatnya dengan muncul johan, mengalahkan SMKPO A di tempat kedua dan SMKPO B di tempat ketiga. Skuad Petanque SMK Labuan diwakili Mohd Aiman Shah Ahmad Satiah, Siti Noorhafiza Nazwa Norizan, Mohd Syamil Zharfan Zulphian, Mc Olsen Harry, Zulaikha Nabilla Zulkifli dan Kellvictor Kimlin.
Dalam Pertandingan Badminton, pasukan SMKPO dinobatkan sebagai juara, diikuti SMK Merapok di tempat ke dua dan SMK Labuan di tempat ke tiga.
SMKPO A juga muncul johan acara futsal perempuan diikuti SMK Labuan dan SMKPO B. Dalam kategori futsal lelaki, johan disandang SMK Beaufort, kedua SMKPO Team B dan ketiga SMK Labuan.
SMK Keningau 2 muncul juara acara Bola Jaring, naib johan SMK Labuan dan ketiga SMK Pengiran Omar Sipitang.
Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan dan bantuan PIBG SMK Labuan dan para ibu bapa.
Beliau berkata Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan berhasrat untuk menganjurkan Karnival Kokurikulum Tingkatan 6 Peringkat Antarabangsa pada tahun 2020 melibatkan Sekolah, Pusat Tingkatan 6 / Pra Universiti dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei Darussalam.
Berita Oleh : SMK Labuan