Warga SK Sungai Bedaun Berkongsi Nikmat Rezeki Dalam Ibadah Korban

Murid-murid daripada golongan asnaf dan anak yatim bergambar ceria bersama warga SK Sungai Bedaun

Labuan – Seramai 47 murid daripada golongan asnaf dan anak yatim diraikan dalam program korban yang dianjurkan oleh Musalla Al Kauthar dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam dan Kelab Guru dan Staf, Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) pada 11 Ogos lalu di padang SKSB.

SK Sungai Bedaun telah mengadakan program korban sejak tahun 2018. Pada tahun ini, dua ekor lembu telah disumbangkan oleh guru-guru untuk ibadah korban.

Program ini diadakan sejurus selepas solat sunat Aidiladha dan selesai selepas solat zohor. Warga SKSB bersama Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) bergotong- royong bagi menyempurnakan program ini.

Proses penyembelihan telah dilakukan oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan yang juga merupakan ahli PIBG dan alumni SKSB.

Menurut Puan Dayang Sarifah Binti A. Mahmod, Guru Besar SKSB, Program korban pada tahun ini  sangat meriah dengan kehadiran ramai ibu bapa yang membantu pihak sekolah menguruskan kerja-kerja penyembelehan, melapah, mengagihkan daging serta memasak untuk kenduri korban.   

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang dan semua yang terbabit menjayakan program korban tahun ini,” katanya.

Puan Dg. Sarifah (dua dari kiri) mengagihkan daging korban dan juadah kenduri kepada penerima sambil diperhatikan oleh Puan Rina Farrina (kiri) dan Ustaz Sahrum (kanan).

Menurut Puan Saudah Binti Abdul Wahab Penyelaras Program Korban, banyak permintaan daripada guru-guru untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini namun pihak sekolah terpaksa menghadkan kepada dua ekor lembu sahaja memandangkan tenaga kerja untuk melapah daging tidak mencukupi.

“InshaAllah, pihak urusetia akan meneruskan program korban berkelompok di tahun hadapan. Sekiranya ada permintaan kita akan menambah kouta kepada tiga ekor lembu”. Katanya.

Antara juadah yang disediakan untuk kenduri korban tersebut ialah sup tulang, daging goreng dan  sayur campur. Daging yang siap dibungkus kemudian diagihkan kepada golongan asnaf dan anak yatim bermula jam 12.30 tengah hari. Pengagihan 143 kg daging korban juga berjalan lancar dan sistematik.

Semoga Program korban ini mendapat keberkatan serta mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan warga SK Sungai Bedaun dan komuniti setempat.

Pihak sekolah berharap agar program ini dapat memberi sinar kegembiraan kepada golongan asnaf untuk sama-sama meraikan Aidiladha dengan penuh kegembiraan.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Loading

image_pdfimage_print