Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha Muncul Johan Kategori Tahap 2 dan Tahap 1 Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2019
LABUAN, 28 OGOS – Murid tahun lima, Amni Naeelah binti Ahmad Saifuddin dan murid tahun tiga, Gabriella Isabelle Huminodun Jisty masing-masing dari Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha muncul johan bagi kategori Tahap 2 dan Tahap 1 dalam pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang berlangsung di dewan terbuka dan pusat sumber sekolah, SK Rancha-Rancha, W.P Labuan. Dengan kejayaan itu, kedua-duanya akan mewakili Labuan ke peringkat Kebangsaan.
Naib johan kategori Tahap 2 menjadi milik Ahmad Wafiq bin Mohd Redzuan dari SK Kerupang manakala ketiga murid SK Pekan 2, Iris Qasreena binti Mohamad Haszri.
Bagi kategori Tahap 1, naib johan dimenangi murid SK Tanjung Aru, Auni Hannani binti Hasbudin dan tempat ketiga disandang Vanessa Trinity Jason yang mewakili SK St Anne.
Ketua hakim pertandingan bercerita Tahap 1, Jamilah Ag. Kanak dan Rositah Abdul Rahman selaku ketua hakim Tahap 2. Barisan hakim Tahap 1 Fauziah Saamah dan Saripah Suip, manakala bagi Tahap 2 ialah Hasnan bin Mohd Saad dan Norailing Vou. Pengerusi Teknik bagi pertandingan ini ialah Norliah Abd Gapar sementara SK Rancha-Rancha merupakan pengelola pertandingan itu.
Sebanyak 16 buah sekolah rendah dengan 16 peserta Tahap 1 dan 16 peserta Tahap 2 menyertai pertandingan ini. Ketua Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (SPPK) JPNWPL, Jaafar Hj Matusin menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir Penolong Pengarah Unit Kelab Persatuan, SPPK JPNWPL, Asmawi Hj Ahmad dan Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie binti Kassim.