Sumbangan Kerajaan dan Komuniti – St. Anthony Open Hall Jadi Kenyataan
Labuan – 7 September 2019 merupakan hari bersejarah bagi Sekolah Menengah St. Anthony W.P.Labuan apabila pihak PIBG dan sekolah mengadakan Majlis Perasmian St. Anthony Open Hall.
Dewan Terbuka yang diimpikan oleh seluruh warga sekolah terutama para pelajar sekolah ini sejak sekian lama akhirnya telah menjadi kenyataan.
Majlis Perasmian St. Anthony Open Hall disempurnakan oleh YB Datuk Rozman Bin Datuk Hj. Isli, Ahli Parlimen Malaysia P166 Labuan. Turut hadir ialah Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P.Labuan, Yang DiPertua PIBG En Chia Sia Theng, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, IR Friddy Fu , para penyumbang budiman serta para pegawai Jabatan Pendidikan W.P.Labuan.
YB Datuk Rozman dalam ucapan perasmiannya, berharap platform PIBG ini digunakan sebaik mungkin untuk sama-sama memajukan sekolah ini. Melalui PIBG para ibu bapa dan komuniti dapat menyalurkan apa jua bentuk bantuan kepada pihak sekolah. Para ibu bapa perlu menyokong semua usaha sekolah. Dengan ini murid-murid di sekolah ini akan mendapat pendidikan yang sempurna dan belajar dalam keadaan yang lebih selesa.
Selain itu pembinaan Dewan Terbuka ini juga membolehkan pelbagai aktiviti murid dapat dilaksanakan. Beliau menjelaskan bahawa pihak kerajaan sentiasa menyokong dan membantu sekolah-sekolah bantuan modal di Wilayah ini.
Dr. Baby Chong Vui Hiong selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis Perasmian St. Anthony Open Hall yang juga merupakan Pengerusi Majlis Makan Amal tahun 2017 , mengucapkan setingi-tinggi penghargaan kepada para penderma yang budiman sehingga membolehkan projek Open Hall ini siap dibina pada 7 September 2018. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang mana YB Datuk Rozman telah menyumbangkan sebanyak RM20,000.00 bagi perojek ini. Dr Baby Chong sendiri menyumbangkan RM8,888.88, Encik Chia Sia Theng menyumbangkan RM6,000.00 . Manakala Encik Goh Chan, Dato’ Robert Seah Kiat Cheong, Encik Paul Ipoh, Encik Wong Tack Peng, Dato’ Celestine Kong, Dato’ Sri Goh Sin Han, Encik Ngai Zheng Siang dan Encik Chong Jium Fuu masing-masing menyumbangkan RM5000.00.
Kerja-kerja pemasangan pendawaian elektrik seperti switch board, socket, kipas dan lampu telah disiapkan awal tahun 2019.
Tuan Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan tahniah kepada PIBG, Pengetua, guru-guru dan ibu bapa sekolah yang sentiasa bekerjasama untuk membangunkan sekolah ini.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada mantau Ketua Unit Pembangunan Encik Sahbudin Bin AG Mohamad yang banyak membantu dan memberikan khidmat nasihat kepada pihak sekolah, bagi membolehkan projek ini mendapat kelulusan segera dari pihak KPM.
Beliau berharap agar PIBG sekolah ini bekerjasama dengan pihak Lembaga Pengurusan Sekolah dalam memastikan pembangunan sekolah ini terjaga dengan rapi.
Pengetua SM St Anthony, Puan Dona Undoh memaklumkan bahawa sekolah ini masih memerlukan penambahan 6 buah bilik darjah dan bilik-bilik khas yang boleh dibina melalui penambahan dua tingkat lagi bangunan di blok C. Projek ini juga memerlukan modal yang besar dan diharapkan akan mendapat kerjasama komuniti di Wilayah ini.
SEJARAH PEMBINAAN DEWAN TERBUKA SAS
1. Projek mencari dana : Charity Dinner pada 22 Julai 2017
2. Kelulusan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat : 8 September 2019
3. Kelulusan dari Perbadanan Labuan : 6 Oktober 2017
4. Kelulusan dari KPM : 14 Februari 2018
5. Pelan disumbangkan : Mr Tan Teck Soo ( Chan & Shahriman Arkitek Sdn. Bhd )
6. Projek pembinaan Dewan Terbuka SAS bermula :
6.1 Nama Syarikat : ARASTU ENTERPRISE
6.2 Kos : RM105,000.00
6.3 Tempoh siap : 16 minggu ( 2 Mei 2018 – 7 September 2018 )
7. Kerja-kerja pemasangan pendawaian elektrik ( switch board, socket, kipas dan lampu ) : RM15,000.00
Kos Keseluruhan : RM120,000.00
Puan Dona mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PIBG serta semua penyumbang budiman kerana ingatan tulus ikhlas, perasaan sayang dan kemurahan hati mereka terhadap sekolah ini. Beliau mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas bantuan pihak kerajaan kepada sekolah ini dan juga kesudian YB Datuk Rozman Bin Datuk Hj Isli untuk hadir merasmikan ST. Anthony Open Hall pada hari ini.
Berita Oleh : SM St Anthony