Semarak Merdeka Warga SK Sungai Bedaun Disambut Meriah dan Berwarna Warni

Labuan – Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB), berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti bermula pada 12 Ogos  dan berakhir pada 20 September yang lalu.

Aktiviti disertai oleh 691 murid
dan 43 guru itu diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan
negara. Bertemakan Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih, sambutan yang diadakan
di Dewan Mutiara, SKSB itu disambut dengan meriah, berwarna warni  dan bersifat patriotik.

Pelancaran Bulan Kemerdekaan
telah diadakan pada 12 Ogos di Dewan Permata SKSB. Dalam majlis tersebut
diadakan nyanyian lagu jalur gemilang dan kibaran jalur gemilang. Aktiviti
sepanjang bulan kemerdekaan turut diumumkan.

Program Semarak Merdeka di SKSB
bermula pada 26 Ogos yang lalu dengan kerjasama Maybank Corporate
Responsibility (CR) Day
. Sebanyak lima kontinjen yang melibatkan seramai
105 orang murid tahun 4 dan 5 serta 25 orang pegawai daripada Maybank Labuan
membuat perarakan hari kemerdekaan di Dataran SKSB. Peserta perarakan tersebut
memakai pakaian tradisional yang melambangkan perpaduan rakyat daripada
pelbagai kaum dan bangsa.

Urusetia Program turut mengadakan Sambutan Ambang Merdeka yang berlangsung dengan meriah pada 30 Ogos di Dewan Permata sekolah tersebut.

Peserta Fesyen Merdeka bergambar ceria bersama guru-guru.

Semua warga SKSB mengibarkan jalur gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik. Guru Besar, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod turut mengetuai laungan merdeka sebanyak tujuh kali.

Pertandingan nyanyaian lagu
patriotik turut diadakan pada 17 September lalu bagi  menyemarakkan semangat merdeka di kalangan
murid-murid. Begitu juga pertandingan mendeklamasi sajak. Ianya disertai oleh
murid-murid tahun 4 hingga 6 .

Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan telah diadakan pada 20 September lalu di Dewan Permata sekolah tersebut. Antara pengisian program ialah pertandingan fesyen merdeka, basikal berhias dan persembahan koir lagu patriotik.

Peserta koir lagu patriotik sedang membuat persembahan semasa Penutupan sambutan Bulan Kemerdekaan.
Peserta basikal berhias memperagakan basikalnya semasa Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan.

Puan Dg.Sarifah berkata, selain memeriahkan sambutan kemerdekaan negara, program yang diadakan bertujuan untuk mengukuhkan perasaan cintakan negara dan  memupuk daya juang dalam kalangan generasi muda.

 “Kesenangan hari ini bukan diarih dengan
mudah, sebaliknya menuntut pengorbanan yang besar generasi terdahulu, termasuk
mengorbankan nyawa dan harta benda. Justeru semangat menjiwai kemerdekaan perlu
ditanam di dalam jiwa anak-anak seawal usia di bangku sekolah rendah lagi.”
Katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan.

Menurutnya lagi, generasi alaf21 perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik. Walaupun bulan Ogos dan September dianggap bulan peperiksaan penting terutamanya bagi murid Tahun 6, namun ini tidak bermakna sambutan tidak boleh diadakan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Panitia Sejarah kerana dapat menyusun aktiviti yang menarik sepanjang bulan kemerdekaan.

“Oleh itu, murid-murid harus
memahami dan menghayati sejarah perjuangan negara bagi mencapai kemerdekaan
serta menjamin keamanan dan kemakmuran negara,” katanya lagi.

Penyelaras Program Semarak
Merdeka Shafawati Binti Seliat berkata, pada tahun ini pelbagai program dan
aktiviti diadakan untuk melahirkan murid yang mampu mengaplikasikan kemahiran
sejarah yang sebenarnya serta mencungkil kreativiti murid.

“Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 yang ke-62 tahun  bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ menekankan usaha memupuk perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Semoga usaha ini dapat menonjolkan nilai integriti serta jati diri dalam kalangan warga sekolah dan rakyat Malaysia amnya”. Katanya ketika majlis penutupan bulan kemerdekaan.

Puan Dg. Sarifah merakamkan gambar kenangan bersama guru-guru dan pemenang peserta fesyen merdeka.

Bagi memeriahkan suasana sambutan
kemerdekaan itu, guru turut berpeluang menyertai pertandingan mewarna dan
menulis esei. Pertandingan Reka Cipta buku Skrap Kemerdekaan dan Reka Cipta
daripada bahan terbuang dengan penerapan elemen STEM turut diadakan.

Majlis penutupan bulan
kemerdekaan peringkat SKSB diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi setiap acara
yang dipertandingkan serta nyanyian lagu patriotik dengan penuh semangat
daripada seluruh warga sekolah.

Semoga semarak merdeka akan terus membara di dalam diri anak-anak muda.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Puan Dg. Sarifah (kiri), Puan Rina Farrina (dua dari kiri), Ustazah Kamariah (dua dari kanan), Encik Mohd Aizam (kanan) bergambar ceria di hadapan hasil kerja murid bagi pertandingan Reka cipta daripada bahan terbuang.